lori air Air Selangor
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sebanyak 463 kawasan dijangka mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual selepas Loji Rawatan Air Sungai Semenyih dihenti tugas berikutan pencemaran bau yang dikesan di Sungai Semenyih pada 5.15 petang tadi.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri berkata, gangguan bekalan air itu meliputi lima wilayah iaitu 172 kawasan di Petaling, Hulu Langat (54), Sepang (194), Putrajaya (23) dan Kuala Langat (20).

“Kesemua kawasan yang terjejas adalah sama seperti senarai kawasan gangguan air tidak berjadual baru-baru ini dan pengguna boleh mendapatkan senarai kawasan yang terlibat menerusi laman sesawang https://hentitugas.airselangor.com/ serta aplikasi Air Selangor,” menurutnya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata, Air Selangor sedang bekerjasama dengan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) bagi mengenal pasti punca pencemaran air mentah di sepanjang Sungai Semenyih dan anak sungai di sekitar sungai itu.

Air Selangor telah mengaktifkan Pelan Tindakan Kecemasan (ERP) bagi menyediakan bantuan bekalan air alternatif kepada pengguna yang terlibat manakala sebanyak 94 lori tangki air akan digerakkan ke kawasan terjejas dan premis kritikal.

Beliau berkata, Air Selangor amat memahami situasi pengguna yang memerlukan air bersih terutama semasa peningkatan kes COVID-19 dan syarikat air itu sedang mengambil segala usaha bagi meminimumkan impak gangguan kepada pengguna yang terjejas.

Air Selangor akan memaklumkan perkembangan berkaitan dengan insiden ini dari semasa ke semasa menerusi semua medium khususnya media massa,” katanya. – Bernama