KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menumpaskan sindiket ceti haram digelar ‘Ah Long Bangladesh’ menerusi serbuan di sebuah kediaman di Bukit Bintang, di sini, semalam.
Serbuan pada pukul 1 pagi itu dijalankan sepasukan pegawai Imigresen dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, dua warga Bangladesh berusia 23 dan 41 tahun termasuk dalang utama diberkas dalam operasi yang dijalankan itu.
Menurut beliau, ketika pemeriksaan dijalankan, penghuni kediaman enggan memberikan kerjasama sebelum pegawai operasi bertindak memecahkan pintu.
“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat lima warga asing berada di kediaman tersebut namun suspek utama yang dikenali sebagai ‘Ah Long Bangladesh’ telah melarikan diri ketika pasukan operasi sedang memecahkan pintu hadapan.
“Suspek utama telah melompat ke koridor rumah bersebelahan dan bersembunyi di kawasan tersebut.
“Kira-kira dua jam kemudian, suspek yang bersembunyi di tingkat tiga bangunan bersebelahan berjaya ditemui,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Khairul Dzaimee berkata, sebanyak sembilan keping pasport Bangladesh dan wang tunai berjumlah RM50,000 dipercayai hasil aktiviti pinjaman dan penghantaran wang tanpa lesen ditemui di kediaman tersebut.
Tambahnya, pasukan operasi turut menemui sejumlah dokumen berkaitan sebuah syarikat dan beberapa kontrak penyewaan bangunan yang dipercayai digunakan sindiket untuk menjalankan kegiatan itu.
Jelas beliau lagi, sindiket dipercayai menjalankan kegiatan memberi pinjaman dan kiriman wang tidak berlesen kepada warga asing di sekitar Kuala Lumpur.
“Modus operandi sindiket adalah menubuhkan syarikat secara sah bagi mengaburi kegiatan mereka. Sindiket dipercayai telah menjalankan kegiatan ini sejak setahun yang lalu dengan menjadikan warganegara Bangladesh sebagai pelanggan dan sasaran mereka,” ujarnya.
Khairul Dzaimee berkata, suspek yang ditahan kini ditempatkan di Depot Imigresen Semenyih selama 14 hari untuk siasatan lanjut manakala warga asing lain yang diperiksa diberikan notis untuk hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 51(5) (b)Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1950 (Akta 150) dan Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001(Akta 613). – MalaysiaGazette