KUALA LUMPUR – Indeks nilai seunit eksport bertumbuh 1.3 peratus pada Julai 2021 berbanding bulan sebelumnya disumbangkan oleh kenaikan indeks minyak galian (+6.7%), alat jentera & kelengkapan pengangkutan (+1.1%) dan barang-barang keluaran kilang (+0.5%).

Sementara itu, indeks volum eksport merekodkan penurunan 9.0 peratus pada bulan yang sama, disumbangkan oleh kejatuhan indeks pelbagai barang keluaran kilang (-22.9%), barang-barang keluaran kilang (-12.0%) dan alat jentera & kelengkapan pengangkutan (-7.7%).

Indeks volum eksport pelarasan bermusim menguncup 20.7 peratus daripada 172.8 mata kepada 137.0 mata.

Berbanding tahun sebelumnya, indeks nilai seunit bertumbuh 14.3 peratus, manakala, indeks volum eksport susut 8.2 peratus.”

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin turut berkata, indeks nilai seunit import menunjukkan pertumbuhan yang sama iaitu 1.3 peratus pada Julai 2021 berbanding bulan sebelum.

Peningkatan ini disumbangkan oleh pertumbuhan indeks minyak galian (+8.1%), alat jentera & kelengkapan pengangkutan (+0.7%) dan barang-barang keluaran kilang (+0.4%).

Sebaliknya, indeks volum import menyusut 0.8 peratus pada Julai 2021 berbanding bulan sebelum, disumbangkan oleh kejatuhan indeks minyak & lemak binatang & sayur-sayuran (-19.1%), barang-barang keluaran kilang (-13.6%) dan bahan kimia (-9.8%).

Indeks volum import pelarasan bermusim pada Julai 2021 mencatatkan penurunan 9.5 peratus daripada 170.6 mata kepada 154.3 mata.

Berbanding tahun sebelum, kedua-dua indeks nilai seunit dan volum import masing-masing meningkat 5.6 peratus dan 17.5 peratus.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) turut melaporkan terma perdagangan Malaysia mencatatkan pertumbuhan kecil 0.05 peratus bulan ke bulan kepada 105.0 mata pada Julai 2021.

Berasaskan tahun ke tahun, prestasi terma perdagangan Malaysia kekal positif 8.4 peratus daripada 96.9 mata pada Julai tahun lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast