Gambar hiasan. foto ABC News

LONDON – Kerajaan Britain merancang untuk menjadikan kes penculikan haiwan peliharaan sebagai kesalahan jenayah susulan peningkatan kecurian haiwan, terutama anjing semasa wabak Covid-19.

Pemilikan haiwan peliharaan semakin meningkat semasa pelaksanaan sekatan pergerakan akibat koronavirus ekoran ramai orang menghabiskan lebih banyak masa di rumah.

Situasi ini mendorong harga beberapa baka anjing melonjak sebanyak 89%, sekali gus menjadikan kegiatan mencuri haiwan sebagai tarikan kepada penjenayah.

“Mencuri haiwan kesayangan adalah kejahatan yang dahsyat, boleh menyebabkan keluarga mengalami tekanan emosi yang besar sementara penjenayah pula memenuhi poket mereka.

“Pengenalan kesalahan penculikan haiwan kesayangan ini mengakui bahawa haiwan lebih daripada sekadar harta benda dan akan memberi kuasa tambahan kepada polis untuk mengheret individu yang melakukan jenayah ini ke muka pengadilan,” kata Setiausaha Dalam Negeri, Priti Patel.

Kesalahan baharu ini adalah salah satu dari sejumlah cadangan daripada laporan Pet Pet Theft Taskforce yang ditubuhkan pada bulan Mei untuk meneliti masalah tersebut.

Ia mendapati tujuh daripada 10 kecurian melibatkan anjing, dengan bukti terdapat kira-kira 2,000 jenayah kecurian anjing dilaporkan kepada polis pada tahun lalu.

Tinjauan untuk Persatuan Pengilang Makanan Haiwan Peliharaan pada bulan Mac menunjukkan 2.1 juta orang telah membeli haiwan kesayangan baharu semasa pelaksanaan sekatan pergerakan dalam usaha membendung Covid-19 dan 1.2 juta merancang untuk mendapatkannya.

Mencuri haiwan peliharaan sudah menjadi satu kesalahan dan pesalah boleh dikenakan hukuman maksimum tujuh tahun penjara tetapi kesalahan baharu itu akan mengiktiraf kebajikan haiwan sebagai makhluk hidup dan mengakui haiwan peliharaan lebih daripada sekadar harta pemiliknya, kata kerajaan. – Reuters

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast