Hantaran yang diterima menerusi aplikasi media sosial adalah palsu.

KUANTAN – Berita tular mengatakan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Wisma Belia Kuantan menawarkan penerima hadir secara masuk terus (walk-in) adalah palsu.

Pegawai Daerah Kuantan, Tengku Datuk Norasmaliza Ku Lah berkata, semua PPV di bandar raya itu  hanya bersedia menawarkan kaedah tersebut selepas penerima yang berdaftar dalam menerusi MySejahtera lengkap menerima vaksin.

Pegawai Daerah Kuantan, Tengku Datuk Norasmaliza Ku Lah.

Tambah beliau, perancangan melalui kaedah walk in hanya dijangka bermula selepas 12 September nanti.

“Berita yang tular mengatakan PPV menerima penerima tanpa berdaftar tidak benar, jadi orang ramai dinasihatkan tidak datang seperti yang ditular.

“Sehingga kini seramai 66,672 penerima yang sudah berdaftar namun masih belum disuntik vaksin, jadi kita selesaikan mereka yang berdaftar dulu,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Manakala sejumlah 262, 867 penerima vaksin di daerah ini sudah menerima sekurang-kurangnya satu suntikan vaksin.

Sementara itu, sebanyak 194,830 penerima pula sudah lengkap menerima dua dos daripada 329,539 yang telah berdaftar menerusi MySejahtera bagi Daerah Kuantan.

Semalam tular di media sosial mengatakan orang ramai yang masih belum mendapatkan vaksin boleh menerima suntikan vaksin di Wisma Belia, Kuantan pada 4 September bermula jam 2 petang.

Dalam hantaran tersebut mengatakan keutamaan pemberian vaksin kepada golongan orang kurang upaya, warga emas, ibu mengandung serta yang mempunyai masalah kesihatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast