Amirudin Shari

SHAH ALAM – Tindakan pantas agensi kerajaan negeri menghenti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan meletakkan serbuk karbon teraktif, berjaya menyelesaikan isu pencemaran bau di Sungai Buah, Dengkil semalam.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, tindakan serta merta itu dilakukan sebaik menerima laporan mengenai pencemaran yang dikesan di sungai berkenaan.

Katanya, agensi negeri itu berjaya menyelesaikan isu pencemaran bau di Sungai Buah, Dengkil dalam tempoh kurang 12 jam.

“Langkah yang diambil termasuk henti tugas LRA bagi mengelak pencemaran masuk ke sumber air terawat dan sebanyak 14 beg serbuk karbon teraktif diletakkan di dua lokasi aliran takungan bagi mengawal pencemaran ke Sungai Semenyih.

“Alhamdulillah, langkah ini berjaya menyelesaikan isu pencemaran dan LRA Sungai Semenyih telah mula berfungsi serta bekalan air akan dipulihkan secara berperingkat bermula hari ini.

“Sebanyak 94 lori tangki Pengurusan Air Selangor akan digerakkan ke kawasan yang terlibat serta pili awam disediakan di beberapa lokasi strategik,” katanya menerusi hantaran Facebooknya.

Menurut Amirudin, sebanyak 227 juta liter air sehari (JLH) telah dilepaskan dari Empangan Semenyih bagi meningkatkan faktor pencairan dan pembersihan sungai.

Beliau menegaskan, kerajaan kegeri tidak akan berkompromi ke atas pelaku yang terlibat dalam insiden pencemaran, selain memberi amaran akan mengambil tindakan tegas.

Mengikut Seksyen 79(1) (a) Enakmen LUAS (Pindaan) 2020, pencemar air boleh dihukum penjara tidak lebih tiga tahun dan denda tidak kurang RM200,000 atau tidak lebih RM1 juta jika sabit kesalahan.

Sebanyak 463 kawasan di lima wilayah mengalami gangguan air tidak berjadual susulan pencemaran bau pada sumber air mentah di Sungai Semenyih petang semalam.

Wilayah itu ialah Petaling membabitkan 172 kawasan, Hulu Langat (54), Sepang (194), Putrajaya (23) dan Kuala Langat (20). – MalaysiaGazette