“Walk-In Vaccination” memudahkan penduduk sekitar Kota Kinabalu mendapatkan suntikan vaksin tanpa perlu menunggi janji temu.

KUALA LUMPUR – Universiti Malaysia Sabah (UMS) giat menggembleng usaha dalam membantu kerajaan negeri Sabah mencapai imuniti kelompok 80 peratus penduduk negeri ini divaksin menjelang akhir tahun ini.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk ChM. Ts. Dr. Taufiq Yap Yun Hin berkata, UMS telah
mengoptimumkan segala kemudahan, sumber tenaga dan kepakaran bagi membantu
kerajaan negeri menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

“Selaras dengan pengumuman Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad yang memberi tanggungjawab kepada UMS sebagai Pusat Pemberian Vaksin Institusi Pengajian Tinggi (PPV-IPT), lebih 170 petugas membabitkan petugas klinikal, sukarelawan kakitangan dan pelajar, bahagian keselamatan dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) serta sukarelawan Malaysia Vaccine Support Volunteers (MyVAC) telah ditempatkan bagi membantu kelancaran proses pemberian vaksin.

“Sejak PPV-IPT UMS dibuka pada 14 Jun lalu, petugas UMS telah memberikan sejumlah
90,738 dos vaksin, yang meliputi 52,175 penerima dos pertama, dan 38,563 penerima dos kedua,” katanya yang mengulas mengenai Sabah telah mencapai sasaran 40 peratus kadar vaksinasi melibatkan populasi dewasa pada Selasa lalu.

Menurut Taufiq, selain meningkatkan keupayaan pemberian dos vaksin dari 1,000 ke 4,000 dos sehari, PPV-IPT UMS juga telah mengadakan program vaksinasi secara tanpa janji temu atau ‘walk-in’ kepada individu yang masih belum menerima tarikh janji temu melalui aplikasi MySejahtera.

“Kita telah laksanakan program vaksinasi secara walk-in sebanyak tiga kali, iaitu pada 3
hingga 6 Ogos lalu, kali kedua pada 9 hingga 13 Ogos, dan terbaru pada 30 hingga 3
September.

“Kita hanya mahu memastikan lebih ramai penduduk khususnya sekitar Kota Kinabalu
menerima suntikan vaksin, sekali gus meningkatkan lagi peratusan populasi penduduk di
negeri ini telah divaksinasi,” ujarnya.

Taufiq turut memaklumkan UMS tidak hanya menjayakan program vaksinasi melalui PPV,
tetapi turut menggerakkan kakitangannya untuk melaksanakan aktiviti pemberian vaksin
kepada penduduk luar bandar melalui program jangkauan.

Sejak Julai lalu, UMS telah bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS)
Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan
Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) untuk melaksanakan program outreach pemberian vaksin kepada penduduk luar bandar yang mengalami kesukaran untuk hadir ke PPV.

Antara penduduk yang telah menerima manfaat ini ialah penduduk di Kampung Kionsom,
Kampung Pinahawon dan Kampung Talungan, dan terdapat perancangan untuk
menggerakkan lagi program ini di beberapa kawasan terpilih, katanya.

Menyedari risiko tinggi yang terdedah kepada penduduk di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang masih belum menerima vaksin, kakitangan Hospital UMS (HUMS) telah berkolaborasi dengan pelbagai pihak bagi menggiatkan pemberian vaksin kepada penduduk di kawasan tersebut.

“Kolaborasi dengan JKNS, DBKK, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara
(LPPKN) Cawangan Sabah dan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) kawasan
telah menggerakkan program vaksinasi di beberapa kawasan terpilih sekitar Kota Kinabalu, antaranya Taman Telipok Jaya, Universiti Apartment dan Tanjung Aru, dengan beberapa kawasan akan menyusul sekitar bulan ini.

“Dianggarkan sejumlah 2,076 penduduk diberikan suntikan dos vaksin melalui program ini,” kata Taufiq.

Ujar beliau, usaha ini adalah sumbangan UMS bukan sahaja bagi membantu kerajaan negeri mencapai sasaran kadar pemvaksinan, tetapi juga adalah tanggungjawab sosial universiti ke arah matlamat keselamatan dan kesejahteraan rakyat di negeri Sabah.

“Pandemik Covid-19 banyak memberi cabaran bukan sahaja kepada sektor ekonomi tetapi juga kepada sistem pendidikan, justeru kita amat berharap sasaran untuk mencapai imuniti kelompok dapat dipercepatkan agar setiap aktiviti sosial dan ekonomi mampu dibuka dan kembali seperti normal,” ujarnya. – MalaysiaGazette