Statistik kes baharu positif Covid-19 menunjukkan penurunan sebanyak 3,044 kes hari ini.

KUALA LUMPUR – Kadar kes jangkitan baharu positif Covid-19 di dalam negara setakat 24 jam lalu telah menurun dari paras 20,000 menjadi 17, 352 hari ini.

Ia menunjukkan penurunan sebanyak 3,044 kes berbanding semalam 20,396 kes, kata satu kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia hari ini.

Ia sekaligus menjadikan kumulatif kes dilaporkan sehingga kini adalah 1,862,187.

Daripada 17,352 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, KKM dalam satu kenyataan rasmi kes harian Covid yang dikeluarkan lewat petang tadi menyatakan bahawa sebanyak 11,441 kes (65.9 peratus) adalah terdiri daripada mereka yang tiada sejarah vaksinasi atau telah menerima sekurang-kurangnya satu dua dos vaksin atau telah menerima dua dos vaksin tetapi tidak melebihi 14 hari dari tarikh dos kedua.

Manakala 5,911 kes (34.1 peratus) mempunyai sejarah vaksinasi lengkap.

“Daripada 268 kes kategori 3 hingga kategori 5, sebanyak 191 kes (71.3 peratus) terdiri daripada mereka yang tiada sejarah vaksinasi atau tidak lengkap vaksinasi berbanding hanya 77 kes (28.7 peratus) daripada mereka yang telah lengkap di vaksinasi.

“Situasi ini jelas menunjukkan mereka yang lengkap divaksinasi adalah lebih terlindung dan kurang berisiko mendapat jangkitan COVID-19 yang teruk,” kata kenyataan dari Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah itu.

Selangor yang selama ini merekodkan negeri kes harian tertinggi secara konsisten menyaksikan penurunan kepada 2,126 kes berbanding sebanyak 3,886 semalam.

Kedudukan negeri kes harian tertinggi telah diisi oleh Sarawak dengan merekodkan sebanyak 3,714 kes walaupun hanya menunjukkan penurunan sedikit iaitu sebanyak 33 kes daripada 3,747 kes semalam.

Manakala Sabah dan Johor yang masing-masing merekodkan 2,136 dan 2,165 kes semalam juga menunjukkan penurunan setakat 24 jam lalu dengan mencatatkan sebanyak 1,844 dan 2,101 yang tidak begitu ketara.

Negeri utara Semenanjung iaitu Kedah yang merekodkan sebanyak 1,587 kes semalam naik sedikit kepada 1599 hari ini manakala kes harian di Pulau Pinang turun kepada 1,558 kes berbanding 1,961 yang dicatatkan semalam.

Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur juga merekodkan penurunan kes baharu iaitu 398 kes hari ini berbanding 715 kes semalam dan Putrajaya sebanyak 23 kes berbanding semalam 25 kes.

Negeri Pantai Timur Kelantan juga merekodkan kenaikan kes hari ini iaitu 1,213 kes berbanding 1,078 kes semalam.

Negeri Sembilan yang menjalani Fasa Ketiga Pelan Pemulihan Negara juga menunjukkan penurunan kes harian iaitu 193 kes hari ini berbanding 269 kes semalam.

Labuan yang merekodkan empat kes sahaja semalam menunjukkan kenaikan sebanyak satu kes menjadi lima kes positif hari ini.

Negeri Perlis juga merekodkan angka penurunan sebanyak 38 kes hari ini berbanding 78 kes semalam.- MalaysiaGazette