KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedia menggantikan secara percuma dokumen pemilikan kenderaan dan lesen memandu milik mangsa banjir Yan, Kedah yang hilang atau rosak.
JPJ dalam kenyataan memaklumkan, penggantian secara percuma itu meliputi dokumen Lesen Kenderaan Motor (LKM), Lesen Memandu Malaysia (LMM) atau Sijil Pemilikan Kenderaan (VOC).
Katanya, inisiatif gantian dokumen secara percuma itu akan berkuat kuasa mulai hari ini hingga 16 September.
“Bagaimanapun pemilik dokumen perlu membuat laporan polis mengenai kehilangan atau kerosakan dokumen terbabit terlebih dahulu.
“Mereka perlu hadir sendiri dengan membawa dokumen yang rosak untuk mendapatkan gantian dokumen baharu di mana-mana pejabat kaunter JPJ negeri atau cawangan JPJ Kedah,” katanya.
Menurut kenyataan berkenaan, JPJ mengambil pendekatan memberi kelonggaran terhadap aspek penguatkuasaan kepada penduduk di kawasan terbabit.
Ia termasuklah bagi kenderaan perdagangan atau persendirian yang terbabit dalam operasi menyelamat dan membawa bekalan bantuan kepada mangsa banjir sehingga bencana ini terkawal sepenuhnya.
“Bagi menyokong usaha kerajaan dalam menangani fenomena banjir di kawasan yang terkesan ini juga, pihak JPJ di seluruh negara akan sentiasa bersiap siaga untuk menghulurkan apa sahaja bentuk bantuan.
“Bantuan itu sama ada dalam bentuk tenaga manusia atau dalam mengatur gerak aset-aset JPJ sekiranya diperlukan.
“Pihak JPJ dan seluruh warga kerjanya mendoakan agar semua mangsa banjir diberikan kekuatan dan dipermudahkan dalam segala urusan,” ujarnya. – MalaysiaGazette