Anak-anak golongan rentan seronok mengaji tepi tembok di Jalan Pasar, Kuantan, Pahang.

KUANTAN – Hasrat anak-anak kecil golongan rentan bagi memenuhi aktiviti riadah waktu petang kini diisi dengan kelas mengaji al-Quran sementara di tepi Jalan Pasar di sini baru-baru ini.

Ini bagi mengisi waktu lapang mereka sebelum beratur mendapatkan makanan percuma yang diuruskan oleh sukarelawan Pertubuhan Dapur Infaq Ummah yang disediakan pukul 6.30 petang setiap hari.

Setiausaha Pertubuhan Dapur Infaq Ummah, Zahir Shah Zahid yang bangga dengan komitmen sekumpulan enam kanak-kanak kecil yang cintakan ilmu al-Quran.

Zahir Shah Zahid mendengar bacaan Muqadam daripada salah seorang kanak-kanak di tepi Jalan Pasar, Kuantan baru-baru ini.

Menjadi rutin anak-anak di Lorong Pasar itu sebelum ini mengikuti kelas mengaji di Surau Komuniti Wong Ah Jang namun apabila ia ditutup sementara kerana Covid-19, ia tidak menghalang mereka untuk terus mengaji biar pun di tepi jalan.

“Walaupun Surau Al-Hidayah masih belum dapat beroperasi seperti sediakala namun mereka rindukan kelas mengaji jadi tidak kisah sambil menunggu nasi boleh mengaji dengan ustaz dan ustazah.

“Selepas dikaji, anak-anak ini perlukan pengisian menjadikan di tepi tembok ini sesuai untuk memperluas aktiviti mengaji.

“Tidak boleh tinggal lama mengaji, jadi mereka akan lupa jadi kena ulang balik. Disebabkan itu kita menunaikan Hasrat mereka untuk teruskan menuntut ilmu al-Quran,” katanya.

Dalam pada itu, tambah Zahir, ada cadangan untuk membina pondok gazebo kecil di tapak Jalan Pasar bagi melakukan aktiviti mengaji atau melakukan kuliah agama dalam kalangan penduduk di situ.

Namun demikian, lokasi di jalan Pasar di bawah bidang kuasa pentadbiran Majlis Bandaraya Kuantan, maka perlukan kebenaran terlebih dahulu, katanya.

“Anak-anak tersebut tiada pembimbing, tiada kekuatan untuk mereka teruskan jika kita tidak memberi sokongan dan semangat kepada anak-anak ini.

“Kita akan teruskan membimbing golongan rentan di sini dengan bantuan sukarelawan yang sudi membantu,” katanya.

Pertubuhan Dapur infaq dan sukarelawan bergabung di daerah ini sudah lebih tiga tahun bagi menyantuni golongan rentan di Jalan Wong Ah Jang dan Jalan Pasar melalui aktiviti dakwah dan kebajikan.

Dalam pada itu, tinjauan MalaysiaGazette menemui kanak-kanak yang kelihatan seronok dengan aktiviti mengaji yang diadakan.

Faikah Abdullah, 9, mengakui seronok mengikuti kelas mengaji selama sebulan dan  semakin lancar dalam sebutan makhraj huruf bacaan Iqra’.

“Nak mengaji cepat, habiskan Muqaddam dan naik al-Quran dalam dua bulan lagi,” katanya yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Gambang dekat sini dan turut mengaji bersama abangnya.

Manakala bagi Ainul Mardiyah Azman,7, dia mula mengaji dari Iqra dan gembira dapat bersama-sama rakan-rakan sebayanya selain berharap surau berdekatan dapat beroperasi semula untuk membolehkan kelas mengaji secara teratur dilaksanakan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast