Hospital Medan ATM yang beroperasi di Hospital Sultanah Aminah.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Hishammuddin Hussein berpuas hati dengan kepakaran pasukan perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berkhidmat di Hospital Medan ATM.

Menteri Kanan Pertahanan itu berkata, sejak dibuka pada 21 Jun lalu, seramai 944 pesakit positif Covid-19 telah menerima rawatan di hospital itu.

Katanya, daripada jumlah itu seramai 877 pesakit telah sembuh dan dibenarkan pulang.

“Hari ini masuk hari ke-79 Hospital Medan ATM beroperasi di Hospital Sultanah Aminah dengan kapasiti 80 katil biasa dan empat katil ICU sejak dibuka pada 21 Jun lalu.

Alhamdulillah, dengan kepakaran pasukan perubatan ATM, daripada 944 pesakit Covid-19 yang menerima rawatan di Hospital Medan ini, 877 telah sembuh dan dibenarkan pulang.

“Saya amat bangga dan hargai kesungguhan anggota Tentera Darat Malaysia khususnya dari Kor Kesihatan Diraja.

“Mereka sentiasa sanggup merisikokan diri serta bertugas sebilang masa demi membantu pasukan Kementerian Kesihatan (KKM) perangi Covid-19,” katanya menerusi Facebooknya, hari ini.

Kata Hishammuddin, hasil daripada kejayaan itu, semestinya usahasama ATM-KKM akan terus diperkukuhkan lagi.

“Saya telah sebut baru-baru ini bahawa Hospital Medan akan segera ditambah di negeri-negeri yang memerlukan.

“ATM kini hanya tunggu lampu hijau dari KKM untuk diatur gerak.

“Covid-19 adalah musuh negara. Menerusi apa jua cara, ATM akan peranginya demi nyawa rakyat, kesejahteraan masyarakat dan keselamatan tanah air,” katanya. – MalaysiaGazette