IPOH – Seorang kanak-kanak lelaki autisme berusia enam tahun dipercayai hilang petang semalam selepas keluar dari rumahnya di Lorong Jaya, Taman Kinta Baru, Gopeng dekat sini ditemukan terapung di tepi sebuah lombong, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kampar Supt Hasron Nazri Hashim berkata mayat Muhammad Fayyadh Ukasyah Abdul Wahid ditemukan pasukan operasi mencari dari Balai Polis Gopeng dalam jarak kira-kira 80 meter dari rumah keluarga mangsa pada pukul 9.45 pagi.
“Mayat mangsa dibawa naik oleh pihak Balai Bomba dan Penyelamat Gopeng dan pemeriksaan awal pada fizikal mangsa telah dibuat dan didapati tiada elemen jenayah.
Sebelum ini, Hasron Nazri berkata seorang kanak-kanak autisme dengan masalah hiperaktif, kurang pendengaran dan tidak boleh bercakap, disedari hilang oleh ibunya kira-kira pukul 6.30 petang semalam.
Beliau berkata pakaian terakhir mangsa sebelum hilang adalah berbaju T-shirt BoBoiBoy berwarna hijau dan memakai lampin pakai buang.
— BERNAMA