Wan Junaidi Tuanku Jaafar

PUTRAJAYA – Transformasi tiga sektor utama menjadi tumpuan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Katanya, tiga sektor yang bakal ditransformasikan dalam tempoh 100 hari pertama ialah pentadbiran kerajaan dan institusi Parlimen, selain melihat semula Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Menurutnya, beliau telah berbincang mengenai agendanya itu dengan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam, dan Perdana Menteri secara prinsipnya bersetuju agar kementerian itu meneliti rancangan transformasi berkenaan.

“Memang tepat masanya untuk kami melakukan penambahbaikan dan transformasi yang diperlukan dalam sistem pemerintahan dan Parlimen agar sesuai dengan keadaan sosial dan politik bagi menghadapi cabaran akan datang.

“Selain itu, saya juga komitmen untuk meneliti semula Perjanjian Malaysia 1963 supaya dapat mengembalikan hak rakyat di Sabah dan Sarawak seperti yang dipersetujui di bawah MA63,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Dr. Wan Junaidi, MA63 adalah isu yang dekat di hatinya dan sesuai dengan kedudukannya, beliau akan menjadikan usaha itu salah satu keutamaannya.

Mengenai transformasi institusi Parlimen, katanya, beliau telah bertemu dengan Yang di-Pertua Dewan Negara, Senator Tan Sri Dr. Rais Yatim dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun minggu lalu untuk membincangkan perkara itu.

Kata beliau, transformasi itu akan tertumpu kepada dua bidang utama iaitu memperkenalkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen yang akan lebih komprehensif untuk memberi kebebasan kepada Parlimen dan cadangan untuk mewujudkan akta baru Parlimen bagi menggantikan Akta Hak Istimewa & Kuasa Parlimen 1952 (disemak 1988).

“Saya gembira apabila kedua-dua Speaker sangat positif dengan cadangan ini, bahkan mereka telah memberikan komitmen untuk memainkan peranan utama dalam transformasi Parlimen kita.

“Serentak itu juga kami sepakat untuk membentuk jawatankuasa bersama antara Parlimen dan Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) untuk memastikan pelbagai cadangan yang dibahas dapat dilaksanakan dengan cepat,” katanya. – MalaysiaGazette