Chow Kon Yeow.

GEORGE TOWN – Penduduk Pulau Pinang berstatus warganegara yang belum mendapat janji temu boleh hadir secara terus atau ‘walk in’ di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mulai esok.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, sebanyak 10 PPV membabitkan lima daerah di negeri ini dipilih untuk pelaksanaan vaksin secara ‘walk in’.

Antara PPV yang terlibat ialah PPV Mega Spice Arena; Tapak Pesta Sungai Nibong; Kompleks Sukan Balik Pulau; Pusat Konvensyen Perda; Dewan Millenium; SP Arena, Tapk Ekspo Seberang Jaya; Vangohh Eminent; Dewan Sungai Bakap dan Dewan Serbaguna Jawi.

“Kita tetapkan masa pengoperasian bermula jam 10 pagi bagi mengelakkan sebarang kesulitan dan kesesakan di 10 PPV berkenaan.

“Selain itu, mereka (warga tempatan) yang hadir juga diingatkan untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, mereka yang hadir secara ‘walk in’ untuk mendapatkan vaksin itu mesti warganegara berusia 18 tahun ke atas.

“Sesiapa yang belum daftar atau masih belum terima janji temu menerusi aplikasi MySejahtera boleh hadir.

“Selain itu, mereka yang hadir juga mesti memastikan diri tidak bergejala atau kontak rapat kepada pesakit Covid-19 serta tidak berada dalam tempoh kuarantin,” kata Kon Yeow. – MalaysiaGazette