KD Ganyang menghampiri sebuat bot dinaiki warga asing di perairan negara. - Gambar kredit TLDM

KUALA LUMPUR – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang menyertai Op Benteng kawalan sempadan negara berjaya memintas dan menahan 13 pendatang asing tanpa izin (PATI) di perairan Johor Selatan, awal pagi tadi.

Kumpulan 13 PATI itu dipercayai warganegara Indonesia itu ditahan atas kesalahan menceroboh negara negara melalui jalan laut yang tidak diwartakan.

Menurut kenyataan Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat,  kapal dan bot TLDM yang mengawal perairan negara telah mengesan sebuah bot berkelajuan tinggi dalam keadaan mencurigakan bergerak dari Pulau Batam, Indonesia.

Kata kenyataan itu, kapal dan TLDM yang menjalankan siasatan mendapati bot terbabit bergerak menuju ke perairan Teluk Ramunia, Johor.

“Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA) telah mengesan keberadaan sebuah bot curiga berkelajuan tinggi bergerak dari Pulau Batam, Indonesia dan disyaki menuju ke perairan Teluk Ramunia, Johor.

“Area Control Centre (ACC) Johor kemudian menyalurkan maklumat pencerobohan kepada aset TLDM KD GANYANG di lapangan untuk tindakan lanjut.

“KD GANYANG seterusnya telah mengkoordinasikan aset TLDM FCB 1123, bot pemintas RHIB SANTI serta aset Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) iaitu PERKASA 30 bagi memintas bot tersebut,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Kumpulan 13 Pati dibawa ke Jeti Pos Maritim Pengerang untuk ujian saringan Covid-19 dan siasatan. – Gambar kredit TLDM

Menurut kenyataan itu, kapal dan bot TLDM kemudian berjaya menahan 13 PATI berusia lingkungan 20-an hingga 40-an atas kesalahan menceroboh negara melalui jalan laut yang tidak diwartakan.

Katanya, menyedari kehadiran bot TLDM dan APMM di lokasi, bot yang membawa Pati telah bertindak melakukan cubaan meloloskan diri.

Namun, atas kecekapan dan tindak balas pantas FCB 1123, RHIB SANTI dan PERKASA 30, berjaya mengagalkan cubaan tersebut dan memberkas PATI berkenaan di lokasi empat batu nautika selatan Teluk Ramunia.

“PATI yang diberkas telah dibawa ke Jeti Pos Maritim Pengerang dan seterusnya diserahkan kepada polis di Markas Taktikal Pos Tanjung Sepang untuk ujian saringan Covid-19 dan juga siasatan lanjut.

“Kerjasama dan tindakan bersepadu serta penyaluran maklumat yang pantas oleh kesemua agensi terlibat memastikan setiap cubaan menceroboh akan dipatahkan baik di laut mahupun di darat.

“Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak akan berkompromi terhadap sebarang ancaman melibatkan keselamatan dan kedaulatan negara,” kata kenyataan itu. – MalaysiaGazette