KUALA LUMPUR – Seorang pemandu kereta mewah yang terkejut melihat deretan kenderaan yang berhenti akibat kesesakan jalan, gagal mengawal kereta Lamborghini yang dipandu laju sebelum merempuh kenderaan hadapan.
Akibat rempuhan itu, kenderaan hadapan dipandu seorang wanita tempatan terbalik sebelum melanggar beberapa kenderaan yang lain.
Kemalangan rempuhan melibatkan beberapa kenderaan ini adalah insiden kedua dalam tempoh seminggu ini selepas kejadian pertama di lampu isyarat Jalan Ipoh, Sentul Isnin lalu.
Kejadian itu melibatkan sebuah lori tanah merempuh lima kenderaan akibat hilang kawalannya.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, insiden kemalangan itu berlaku jam lebih kurang 8.40 pagi tadi membabitkan melibatkan beberapa buah kenderaan di Jalan Tun Razak, menghala ke Bulatan Pahang, dekat sini.
Katanya, Lamborghini itu dipandu oleh seorang lelaki tempatan berumur dalam lingkungan 42 tahun dalam perjalanan dari arah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), menghala ke Bulatan Pahang.
“Setiba di lokasi, pemandu Lamborghini yang laju itu terkejut melihat deretan kenderaan yang berhenti akibat kesesakan lalu lintas, gagal mengawal kenderaannya dan melanggar kenderaan jenis Proton Perdana berwarna kelabu yang dipandu oleh seorang wanita berumur 53 tahun sehingga terbalik.
“Kemudian Lamborghini itu melanggar beberapa buah kenderaan lain yang berada di hadapannya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
“Kesemua pemandu kenderaan yang terlibat hanya mengalami kecederaan ringan dan mendapatkan rawatan di Hospital Besar Kuala Lumpur (HKL).
“Manakala, pemandu kenderaan Lamborghini telah telah dibawa ke balai dan dibuat ujian alkohol dan ujian saringan air kencing dan keputusannya negatif,” ujarnya.
Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu seseorang yang memandu suatu kenderaan motor di jalan tanpa kecermatan dan perhatian sepatutnya atau tanpa pertimbangan yang munasabah terhadap orang lain yang menggunakan jalan itu melakukan suatu kesalahan.
Jika disabitkan kesalahan itu, tertuduh boleh dihukum denda tidak kurang RM4,000 dan maksimum RM10,000 dan boleh juga dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua belas bulan oleh mahkamah. – MalaysiaGazette