The accused, Mohd Zahazan Zainon was brought to the Kota Tinggi Court for cheating
The accused, Mohd Zahazan Zainon was brought to the Kota Tinggi Court for cheating. Tertuduh dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Tinggi atas dua pertuduhan memperdaya.
KOTA TINGGI  – Seorang lelaki yang memperdayakan orang ramai dengan mendakwa kematian 14 keluarganya akibat Covid-19 telah dijatuhi hukuman penjara selama tiga tahun.
Tertuduh yang juga penyelia kontrak di Kompleks Bersepadu Pengerang turut didenda sebanyak RM16,000 atau penjara enam bulan dan dua sebatan setelah beliau mengaku bersalah atas dua pertuduhan memperdaya dua rakan sekerja untuk mendapatkan sumbangan pada 3 September lalu.
Pengakuan itu dibuat di hadapan Majisteret, Nurmadiana Mamat, di Mahkamah Majistret Kota Tinggi, di sini hari ini.
Mengikut kertas pertuduhan pertama, tertuduh Mohd Zahazan Zainon, 45, didapati menipu rakan sekerja dengan cara memperdaya mengatakan ahli keluarganya telah meninggal dunia akibat Covid-19 sedangkan ia tidak benar dan mendorong mangsa memasukkan wang berjumlah RM7,857 ke akaun bank tertuduh sebagai sumbangan derma.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memperdaya seorang lagi rakan sekerja dengan mengatakan hal sama sehingga mendorong mangsa memasukkan wang berjumlah RM500 ke akaun bank tertuduh sebagai sumbangan derma.
Kedua-dua kesalahan dilakukan tertuduh pada 3 September lalu antara jam 5.20 petang hingga 9.25 malam di Pejabat Bahagian Keselamatan Kompleks Bersepadu Pengerang di sini.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara selama tempoh tidak kurang dari setahun dan tidak lebih dari 10 tahun dan boleh dikenakan denda.
Terdahulu peguam, Nurul Hidayah Mohd Asri yang mewakili tertuduh memohon hukuman lebih ringan kerana ia merupakan kesalahan pertama.
Selain itu, tertuduh menanggung empat anak hasil perkahwinan terdahulu serta dua anak yang masih bersekolah di pusat tahfiz.
Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya, Nursyamim Fateha Mohd Amin memohon hukuman berat dikenakan terhadap tertuduh dengan mengambil kira kepentingan awam berbanding peribadi.
Normadiana kemudian menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dari tarikh tangkapan, denda RM15,000 jika tidak bayar tertuduh dikenakan penjara lima bulan dan satu sebatan terhadap kesalahan pertuduhan pertama.
Manakala bagi pertuduhan kedua, mahkamah menjatuhkan hukuman setahun penjara dari tarikh tangkapan, denda RM1,000 dan jika gagal bayar boleh dipenjara sebulan dan satu sebatan.
Kedua-dua hukuman penjara berjalan serentak.
Suspek ditahan selepas disyaki menyebarkan berita palsu kononnya kehilangan 14 ahli keluarga akibat Covid-19 hingga meraih sumbangan sejumlah RM91,000.
Menurut maklumat yang tular di media sosial, lelaki berkenaan mendakwa mempunyai lapan anak dan kehilangan isteri serta tiga anaknya pada Jun dan Julai lalu.
Pada 2 September lalu, lelaki itu mendakwa lima lagi anaknya bersama ibu, kakak dan abang ipar serta dua anak mereka turut meninggal dunia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast