KUANTAN- Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) memasang 10 kamera litar tertutup (CCTV) di beberapa lokasi bagi memantau dan mengelak kejadian kecurian pokok bunga terus berulang.
Ia susulan sebanyak 150 pokok hiasan spesis ‘ixora sunkist’ bernilai RM2,500 dicuri oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat MBK, Norkamawati Kamal berkata, perbuatan itu menyebabkan proses penanaman pokok dan mengindahkan bandar ini terbantut.
”Ketika MBK sedang giat menanam pokok bunga hiasan, mereka pula tergamak mencuri dan tindakan ini dianggap keterlaluan.
“Kita perlu menerapkan mentaliti kelas pertama dalam kalangan warga Kuantan supaya mampu memajukan bandar raya ini dan mencapai agenda transformasi yang diusahakan,” katanya.
Menurut beliau, kecurian pokok bunga dikesan di beberapa kawasan pada hujung bulan lalu.
“Pemasangan CCTV ini dapat mengesan individu yang berani mencuri pokok yang ditanam di kawasan sekitar Taman Fas, Jalan Bypas dan di sekitar Jalan Wong Ah Jang,” ujar Norkamawati. – MalaysiaGazette