SRC International Sdn Bhd Appeal verdict guilty Najib Razak IRB Inland Revenue Board tax arrears bankruptcy SRC International appeal verdict guilty
Najib Razak
KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membuat laporan polis terhadap Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) tengah hari tadi.
Ia berikutan dakwaan terdapat pegawai tinggi LHDN serta ahli politik tertentu dipercayai dengan jelas telah melanggar Kanun Keseksaan dan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membabitkan salah guna kuasa dan penggunaan dokumen palsu berkaitan cukai tambahan yang dikenakan terhadapnya.
Najib dalam hantaran terbaharu di laman Facebook menjelaskan, laporan polis yang dibuat itu berkaitan kesalahan melanggar Seksyen 167, Seksyen 192, Seksyen 196, Seksyen 197 Kanun Keseksaan dan Seksyen 23 Akta SPRM.

Berikutan laporan polis itu, Ahli Parlimen Pekan itu turut mempelawa semua pihak terutamanya juruaudit cukai untuk memeriksa fail cukai pendapatannya yang telahpun dikemukakan kepada mahkamah.

Laporan polis yang dibuat oleh Datuk Seri Najib Razak terhadap LHDN.


Katanya, beliau juga akan menulis surat kepada LHDN bagi memberi kebenaran kepada mereka untuk mendedahkan fail cukai pendapatannya bagi tahun-tahun berkenaan kepada mana-mana pihak yang berminat.

Ini supaya mereka boleh lihat sendiri keabsahaan denda cukai tambahan terhadapnya yang langsung tidak masuk akal dan melangkaui undang-undang.

“Saya percaya pihak polis akan siasat secara mendalam dan menegakkan keadilan terhadap saya,” katanya. 

Di awal hantarannya, Najib berkata, sejak kebelakangan ini beliau telah menerima banyak maklumat tentang denda cukai tambahan yang dikenakan terhadapnya.

Katanya, ada yang datang menemuinya dan memohon maaf sambil memberitahu  bahawa kes cukai tambahan RM1.7b itu sebenarnya telah disiasat tiga kali sejak 2018.

Malah, menurut beliau  mereka sendiri mengakui setelah tiga kali siasatan dijalankan dengan penuh teliti, mereka tidak menemui apa-apa kesalahan yang dilakukanya dan tiada penalti cukai yang patut dikenakan.

Katanya, selepas tiga kali siasatan itu selesai dan hasilnya jelas beliau tidak melakukan sebarang kesalahan mengikut undang-undang, ada pegawai tertinggi LHDN yang mengarahkan untuk diteruskan penalti cukai terhadapnya kerana telah diarahkan oleh ahli-ahli politik tertentu.

“Sudah tentu ini menggusarkan kerana arahan tindakan itu lanjutan dari arahan ahli politik dan bukan bersandarkan kepada fakta siasatan, serta asas undang-undang malah ini membuang masa banyak pihak terutama diri saya sendiri dan jelas menyalahgunakan kuasa,” katanya.

Najib berkata, disebabkan oleh tindakan pegawai tertinggi LHDN selepas menerima arahan dari ahli politik tertentu, beliau dikenakan cukai ke atas:

1) Wang yang disebut RM2.6b yang telah dikembalikan kepada penghantar empat bulan selepas diterima tetapi masih dikirakan sebagai pendapatan.

2) Wang yang dipindah dari akaun bank atas namanya ke satu lagi akaun atas namanya juga dikira sebagai pendapatan.

Najib juga mendakwa tidak cukup dengan itu, arahan juga diterima oleh mereka untuk:

1) Tidak membenarkan kesnya dibawa ke Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (PKCP) untuk mempertikaikan keabsahaan pengiraan LHDN untuk rayuan.

2) Diteruskan tindakan untuk bankrapkan beliau tanpa diberikan peluang untuk pertikaikan keabsahan pengiraan taksiran.

Artikel berkaitan:

Pada 6 April lalu Najib mengesahkan telah didatangi wakil LHDN untuk menyerahkan notis muflis berkaitan ringkasan penghakiman cukai pendapatannya dari 2011 hingga 2017.

Beliau menyifatkan tindakan menyerahkan notis muflis pada hari pertama rayuan kesnya didengari bertujuan menyadur garam ke luka ketidakadilan yang masih berdarah atau untuk terus memalukannya.

Dalam hantaran di laman Facebook, Ahli Parlimen Pekan itu berkata, kes cukai yang dikenakan oleh kerajaan Pakatan Harapan itu langsung tidak mempunyai alasan kukuh atau merit yang kemudiannya diteruskan oleh kerajaan Perikatan Nasional.

— MalaysiaGazette