Sel Penjara Tangerang yang terbakar. foto NDONESIAN MINISTRY OF LAW AND HUMAN RIGHTS

JAKARTA – Seramai 44 orang banduan maut selepas kebakaran berlaku di sebuah penjara yang sesak di ibu negara Indonesia.

Kebakaran di Penjara Tangerang berlaku awal pagi ini ketika kebanyakan tahanan tidur.

Pengawal membuka beberapa sel tetapi api marak dengan cepat.

Terdapat 122 tahanan yang tinggal di Blok C yang paling teruk terjejas – jauh lebih besar daripada kapasiti  sebenar seramai 40 orang.

Dua mangsa asing, banduan dari Portugal dan Afrika Selatan antara yang terkorban.

Menteri Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia Indonesia, Yasonna Laoly dalam sidang media memaklumkan kedutaanmasing-masing negara telah diberitahu tentang banduan berkenaan.

Lapan orang cedera parah dan puluhan lagi cedera ringan, katanya.

Rakaman televisyen menunjukkan kepulan asap tebal dari kompleks penjara ketika api marak.

Kebakaran bermula kira-kira pukul 1.45 waktu tempatan dan berjaya dikawal lebih dari satu jam kemudian.

“Api merebak dengan cepat dan tidak sempat untuk membuka beberapa sel … Ketika pengawal mengetahui (kebakaran), api sudah marak,” kata Yasonna pada sidang media.

Litar pintas elektrik mungkin menjadi sebagai punca kebakaran.

Penjara itu dibina pada tahun 1972 dan sistem elektriknya tidak pernah diperbaharui sejak itu, katanya.