Mohamad Noor Yusof Ali menyampaikan sumbangan barang keperluan dapur kepada pesara polis, Mizan Ahmad di Batu Hitam, Kuantan.

KUANTAN – Kebajikan bekas polis akan terus terjamin jika mendaftar dalam sistem e-Pesara.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, pendaftaran hendaklah dibuat mengikut kelayakan dan syarat umum yang perlu dipatuhi bagi memastikan proses permohonan lancar.

“Bekas polis perlu segera daftar e-pesara bagi memastikan kebajikan terpelihara, sekali gus menikmati pelbagai faedah bagi menghargai jasa dan khidmat dalam Polis Diraja Malaysia,” katanya sambil mengingatkan pesara polis tidak meminggirkan diri selepas bersara.

Sebaliknya, hubungan silaturahim dalam kalangan keluarga PDRM perlu dikekalkan.

Oleh itu, waris atau pesara diminta datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah atau balai terdekat untuk segera mendaftarkan e-Pesara bagi menikmati faedah yang ditawarkan.

Terdahulu beliau menziarahi pesara polis, Mizan Ahmad di perumahan Batu Hitam.

Mizan, 62, merupakan bekas anggota yang pernah bertugas di Balai Polis Gambang.

Dia menghidapi penyakit jantung, strok , penyakit kulit dan hilang daya ingatan tinggal bersama anaknya.

Mizan menzahirkan rasa kesyukuran dan terharu dengan keprihatinan kepimpinan IPD Kuantan terhadap nasib pesara sepertinya.

Dalam lawatan itu, Polis Kuantan menyampaikan bakul makanan berjumlah RM300 dan akan membantu proses pendaftaran anggota terbabit.

e-Pesara PDRM merupakan platform yang dibangunkan khas sebagai hub informasi dan penyimpanan rekod maklumat bersepadu dan sebagai medium permohonan dalam talian.

Sehingga Mac lalu, jumlah keseluruhan pesara bagi Kontinjen Pahang yang masih hidup ialah seramai 2,078 orang manakala yang telah mendaftar e-Pesara pula sebanyak 1,651 orang.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast