Dalam tempoh seminggu ini, kawasan yang dikenakan PKPD lebih sedikit berbanding sebelum ini.

KUALA LUMPUR – Sebanyak enam kampung dikenal pasti akan menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan selama dua minggu mulai 10 hingga 23 September ini.

Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Datuk Rodzi Md. Saad berkata, kampung itu ialah dua di Sabah melibatkan Kampung Ulu dan Kampung Pasir Putih di Putatan.

Katanya, empat lagi akan dilaksanakan di beberapa kampung di Pahang iaitu Kampung Orang Asli Sungai Kiol dan Kampung Orang Asli Tekeh serta Felda Sungai Tekam di Jerantut, Kampung Batu 1, Jalan Mentakab, Temerloh dan Felda Keratong 8 di Rompin.

Rodzi Md. Saad

“Semua SOP PKPD adalah sama seperti diumumkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum ini,” katanya dalam kenyataan harian PKPD, hari ini.

Sementara itu, kata Rodzi, empat kampung yang dilaksanakan PKPD pada akhir Ogos lalu dan dijadualkan tamat esok, disambung lagi dua minggu sehingga 23 September ini.

Lokaliti itu ialah Kampung Pengalat Kecil di Papar dan Kampung Lohan Ulu di Ranau, Sabah, manakala Sarawak melibatkan Kuarters Pekerja Sri Datai Mining Sdn. Bhd. di Mukah dan Johor Bahru pula Kampung Orang Asli Simpang Arang.

Selain itu, sebanyak 12 kampung ditamatkan PKPD mulai hari ini dan esok.

Lokaliti tamat PKPD hari ini ialah Kampung Orang Asli Kuala Masai, Johor Bahru, manakala tamat esok, Kampung Bergosong, Pulau Sebatik di Tawau; Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Sri Apas Batu 8; Kampung Libang, Ranau, Sabah.

Turut ditamatkan ialah PKPD di Kampung Gading, Kampung Ulu Sapi dan Ladang Melia di Telupid; Beverly Hills Fasa 5 dan Kampung Nambazan di Penampang; Rancangan Batu 22 Apas, Tawau dan Kampung Landung Ayang di Kudat.

Di Pahang pula melibatkan Ladang Cheekah di Bera.

Semua kawasan yang ditamatkan PKPD itu hasil daripada pembentangan penilaian risiko dari Kementerian Kesihatan. – MalaysiaGazette