PUTRAJAYA – Sebanyak RM123 juta diperuntukkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi sebagai dana pembangunan bagi perkembangan perniagaan untuk syarikat pemula tahun ini.
Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, dana itu disalurkan menerusi beberapa syarikat pembiaya termasuk agensi kementerian, Malaysia Venture Capital Management Bhd (MAVCAP).
Katanya, dana pembangunan itu akan diberikan menerusi tiga kaedah iaitu geran, ekuiti dan pinjaman.
“Kita menyasarkan untuk melahirkan lima syarikat unicorn dalam tempoh lima tahun.
“Sasaran ini dapat dicapai dengan penerapan elemen Rangka Kerja 10-10 Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi Malaysia (MySTIE) dalam sebarang pembangunan syarikat unicorn berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi perjumpaan dengan pengurusan MAVCAP dan Carsome Malaysia di kementeriannya, di sini hari ini.
Syarikat unicorn merujuk kepada pemula niaga yang memiliki penilaian keseluruhan melebihi AS$1 bilion.
Menurut Dr. Adham lagi, MAVCAP iaitu agensi modal teroka di bawah MOSTI memainkan peranan penting dalam memperkasa usahawan pemula menjadi syarikat unicorn sekaligus memacu ekonomi negara.
“MAVCAP semestinya berupaya membantu syarikat-syarikat ini berkembang menjadi juara antarabangsa seterusnya memperluas teknologi di dalam negara dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan,” katanya.
Sementara itu, Adham berkata, beliau sangat berbangga dengan MAVCAP kerana memainkan peranan penting dalam kejayaan syarikat Carsome Malaysia.
Tambahnya, pada pertemuan dengan Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Carsome Malaysia, Eric Cheng secara maya, beliau turut berpesan supaya melihat kecenderungan negara ini dalam program pendigitalan. – MalaysiaGazette
















