Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid
Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid.

KUALA LUMPUR – Seorang doktor yang ditahan kerana merakam kakitangan wanita di dalam tandas sebuah klinik swasta telah dibebaskan dengan jaminan polis.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, sebelum itu, suspek telah selesai diambil keterangan.

“Sejurus kita tangkap suspek kita tidak reman dia sebaliknya mengambil keterangan sahaja daripadanya sebelum membebaskan dia dengan memberi jaminan polis.

“Sementara itu, polis akan melengkapkan kertas siasatan kes berkenaan dan kemudian akan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwaraya kelak untuk arahan tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: 

Dalam kes berkenaan, polis akan menyiasat secara telus dan adil kepada mangsa berlunaskan undang-undang.

Dalam satu kenyataan malam tadi, Mohamad Fakhrudin mendedahkan dakwaan perbuatan doktor klinik swasta itu terhadap pembantu wanita kliniknya.

Pada Rabu lalu, kira-kira pukul 2.30 petang itu, pihaknya telah menerima satu laporan daripada mangsa seorang wanita warganegara tempatan.

Katanya, mangsa berumur 30 tahun dalam aduannya mendakwa  majikannya seorang doktor lelaki warganegara tempatan berumur 46 tahun telah merakam kelakuannya di dalam tandas wanita dengan menggunakan telefon bimbit miliknya.

“Mangsa yang telah bekerja selama enam tahun sebagai pembantu klinik di sebuah klinik swasta di Petaling Jaya itu menyatakan ketika masuk ke tandas pada hari yang sama lebih kurang pukul 2 petang, mangsa ternampak sebuah telefon bimbit berada pada kedudukan tinggi dalam keadaan kamera terbuka.

“Mangsa terus mengambil telefon bimbit tersebut dan mengecam telefon bimbit itu milik doktor berkenaan.” katanya.

Doktor berkenaan kemudian telah diberkas polis pada malam selepas kejadian tersebut.

Jelasnya, polis telah memeriksa suspek sebelum berjaya merampas telefon bimbit jenis Redmi Mi 9T Pro miliknya untuk membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah seksyen 509/377d Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara maksimum lima lima tahun atau denda atau kedua-duanya.- MalaysiaGazette