Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid

PETALING JAYA – Tindakan seorang doktor perubatan yang merakam video semasa seorang kakitangan wanita berada dalam tandas di sebuah klinik swasta, di sini, membawa padah apabila beliau ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima satu laporan polis daripada seorang wanita berusia 30 tahun berhubung insiden itu pada jam 2.30 petang semalam.

Kata beliau, dalam aduannya mangsa mendakwa doktor lelaki itu yang merupakan majikannya telah merakam apa yang berlaku dalam tandas dengan menggunakan telefon bimbit miliknya.

“Mangsa yang telah bekerja selama enam tahun sebagai pembantu klinik di sebuah klinik swasta daerah ini menyatakan bahawa ketika mangsa masuk ke tandas pada hari yang sama jam lebih kurang 2.00 petang, mangsa telah ternampak sebuah telefon bimbit berada di kedudukan tinggi dalam keadaan kamera terbuka.

“Mangsa terus mengambil telefon bimbit tersebut dan mengecam telefon bimbit itu milik majikannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, wanita tersebut yang terkejut, malu dan terganggu dengan kejadian itu terus mencapai beg tangan dan keluar dari klinik secara tergeas-gesa disedari suspek lalu menghalangnya.

“Suspek juga meminta mangsa memulangkan kembali telefon bimbit tersebut kepadanya dan berjanji akan menghapuskan rakaman tersebut di hadapan mangsa.

“Sejurus mangsa menyerahkan kembali telefon bimbit itu kepada suspek, suspek juga telah menunjukkan perbuatan ‘delete’ (memadam) di hadapan mangsa tetapi mangsa tidak nampak apa yang sebenarnya telah dipadam atau dihapuskan oleh suspek,” ujar beliau.

Mohamad Fakhrudin berkata, berdasarkan risikan maklumat, pada jam 7.30 malam pada hari sama, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Petaling Jaya telah menahan suspek.

Jelasnya, polis telah memeriksa suspek dan merampas telefon bimbit miliknya untuk membantu siasatan.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 509 dan Seksyen 377 D Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara maksimum lima lima tahun atau denda atau kedua-duanya. – MalaysiaGazette