KUALA LUMPUR – Ketua UMNO Bahagian Merbok, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin menyifatkan DAP sebagai ‘penyakit negara’, dengan mendakwa parti itu terus membangkitkan isu sensitif meskipun berada dalam kerajaan yang sama dengan UMNO.
Pembahas ucapan dasar Presiden itu berkata, keadaan berkenaan menyukarkan pemimpin UMNO di peringkat akar umbi untuk menerangkan kepada orang Melayu mengenai kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.
“Orang UMNO tidak boleh terima langsung DAP ini. Walau macam mana kita terangkan, depa tetap tak boleh terima,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO 2026 di WTC di sini pagi ini.
Menurut Shaiful Hazizy, pemimpin UMNO di peringkat bawahan terpaksa menerangkan ‘pagi petang siang malam’ mengenai kerjasama politik sedia ada, namun penerimaan akar umbi terhadap DAP di Kedah masih sukar.
Katanya, beberapa kenyataan dan tindakan pemimpin DAP turut menjadi antara faktor yang menguatkan penolakan tersebut.
Beliau membangkitkan kenyataan Lim Guan Eng mengenai kemungkinan seorang daripada kaum Cina menjadi Perdana Menteri, cadangan Ngeh Koo Ham supaya wakil Cina dilantik dalam majlis fatwa serta isu mempertikaikan taraf pensijilan halal.
Shaiful Hazizy turut menyentuh isu membabitkan Tony Pua yang didakwanya mempertikaikan titah Sultan Selangor, selain mendakwa laporan polis dibuat terhadap perkara itu tetapi tiada tindakan atau siasatan.
“DAP itu sendiri satu penyakit dan sampai bila-bila ahli UMNO tidak akan terima mereka ini,” tegasnya.
Beliau berkata, isu seperti itu menurutnya menyukarkan UMNO untuk meyakinkan masyarakat Melayu bahawa kerjasama dengan DAP tidak akan menjejaskan perkara yang dianggap sensitif oleh orang Melayu.
“Buat kacau. Benda-benda macam inilah yang mengukuhkan persepsi DAP sebagai ‘penyakit negara’,” katanya.
Shaiful Hazizy berkata, UMNO perlu mengambil kira suara akar umbi dalam menentukan hala tuju politik parti, khususnya apabila berdepan persoalan mengenai bentuk kerjasama yang boleh diterima oleh ahli dan penyokongnya.
Katanya, apa yang berlaku perlu dijadikan pertimbangan serius dalam menentukan hala tuju UMNO pada masa akan datang. -MalaysiaGazette
















