Pelajar sekolah menunjukkan kesan digigit seekor daripada sekumpulan enam hingga tujuh ekor anjing liar ketika dalam perjalanan ke sekolah di Krubong, Melaka

MELAKA – Seorang pelajar Tingkatan Satu cedera apabila digigit seekor daripada sekumpulan tujuh ekor anjing liar yang menyerangnya ketika dalam perjalanan ke sekolah di Krubong, di sini pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira 7.20 pagi itu, Muhammad Anas Fakhry Mohamad Azdly Shah, 13, dikatakan sedang menunggang basikal dari Taman Krubong Perdana menuju ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Krubong sebelum dikejar sekumpulan enam hingga tujuh ekor anjing.

Mangsa berkata, kumpulan anjing berkenaan sudah berada di laluan itu ketika dia melalui kawasan berhampiran kuil, menyebabkan dia cuba mengelak dengan membelok ke kanan ke kawasan berbatu.

“Saya tak perasan ada sekumpulan anjing di situ kerana sebelum itu kayuh basikal turun bukit dan apabila naik semula bukit dah nampak enam hingga tujuh ekor anjng menyalak.

“Masa tu saya teruskan kayuh basikal seperti biasa kerana sebelum ini pun anjing-anjing berkenaan hanya kejar tapi tidaklah sampai menggigit.

“Tapi pagi semalam tiba-tiba anjing itu semakin berani dan tak takut sehingga seekor daripadanya terus mengejar sempat mengigit kaki kiri ketika sedang kayuh basikal,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette di sini.

Menurutnya, dia bagaimanapun bernasib baik apabila anjing berkenaan melepaskan gigitan di kakinya itu untuk mengejar abangnya pula di belakang yang melalui jalan pintas sama namun terselamat dari serangan.

“Kejadian ini betul-betul buat saya risau kerana tak sangka anjing ini boleh menyerang sehingga ke tahap mengiggit sedangkan sebelum ini ramai juga budak sekolah yang lalu di sini dikejar,” katanya.

Sementara itu, bapa remaja berkenaan, Mohamad Azdly Shah Jamaludin, 46, berkata, kejadian itu membimbangkannya kerana kumpulan anjing liar terbabit didakwa sudah lama berkeliaran di sekitar Taman Krubong Perdana.

Menurutnya, laluan terbabit sering digunakan pelajar kerana menjadi jalan pintas ke sekolah, terutama mereka yang berbasikal, meskipun sebahagian pelajar kini memilih laluan lain selepas sering dikejar anjing.

“Sebelum ini ada juga dengar penduduk cerita seorang kanak-kanak pra sekolah Sekolah Kebangsaan Krubong 2 berhampiran kawasan itu anak saya diserang itu dikejar anjing sebelum ini.

“Bayangkan, budak prasekolah itu kecil sahaja dan kawasan mereka pula memang bersebelahan dengan lokasi anjing liar berkenaan dan kita bimbang kejadian lebih buruk berlaku.

“Mujurlah juga semalam doktor beritahu anak bernasib baik kerana luka akibat terkena taring atas anjing tidak begitu dalam dan tidak melibatkan taring bawah kalau tidak mungkin lebih teruk,”dakwanya lagi.

Bagaimanapun, Mohamad Azdly Shah berkata, sebelum pihak berkenaan juga sudah ambil tindakan termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri Paya Rumput Datuk Rais Yasin sendiri yang amat cakna dengan isu berkenaan.

“Cuma yang peliknya, bila agensi berkaitan datang untuk tangkap anjing liar, haiwan itu pula tak kelihatan menyebabkan masalah ini berlarutan.

“Saya tak salahkan sesiapa tapi berharap perkara ini diambil serius sebelum berlaku kejadian lebih buruk, terutama membabitkan kanak-kanak,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here