Ketua UMNO Bahagian Merbok, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin

KUALA LUMPUR – UMNO Kedah mendakwa institusi penguatkuasaan kerajaan digunakan sebagai alat untuk menekan dan membunuh karakter lawan politik, termasuk ketika negara sepatutnya bergerak ke arah reformasi institusi.

Pembahas ucapan dasar Presiden, Ketua UMNO Bahagian Merbok, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, keadaan itu bertentangan dengan janji reformasi yang pernah dilaungkan, termasuk cadangan meletakkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah Parlimen.

“Waktu pilihan raya, kita akan buat reformasi, antaranya nak meletakkan SPRM itu sendiri di bawah Parlimen. Tapi apa tindakan yang dibuat sekarang? Tak ada. Kita dah tunggu lama. Reformasi jadi apa? Reformasi jadi ‘reformati’,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan ucapan dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO 2026 di WTC di sini pagi ini.

Shaiful Hazizy berkata, UMNO Kedah tidak mempunyai masalah sekiranya mana-mana individu disiasat atau dihukum kerana melakukan kesalahan, namun proses tersebut mesti dilaksanakan secara adil dan tidak dipengaruhi kepentingan politik.

“Nak hukum pesalah, nak buat siasatan, silakan tetapi kena adil. Kita tiada masalah. Tetapi jangan sesekali guna organisasi,” katanya.

Menurutnya, penggunaan institusi kerajaan untuk kepentingan politik hanya akan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap badan penguatkuasaan serta institusi negara.

Beliau berkata, pihak yang pernah mendakwa dirinya menjadi mangsa tekanan politik tidak sepatutnya melakukan perkara sama apabila berada dalam kedudukan berkuasa.

“Orang yang sama dulu bercakap apa? ‘Dipenjara sudah, ditampar sudah, dibogelkan sudah.’ Tetapi hari ini, orang yang sama juga menggunakan badan penguatkuasaan menekan lawan politik yang dulunya kononnya beliau pernah ditekan,” tegasnya.

Shaiful Hazizy berkata, keadaan itu menurutnya menggambarkan wujudnya politik intimidasi dan harassment yang bertujuan melemahkan serta mencalarkan imej parti lawan.

Katanya, UMNO mahu reformasi institusi dilaksanakan secara sebenar dan bukan sekadar menjadi slogan, dengan setiap badan penguatkuasaan perlu berfungsi secara adil tanpa dipengaruhi kepentingan politik.

Beliau berkata, prinsip keadilan itu perlu dipertahankan tanpa mengira siapa yang disiasat, kerana UMNO tidak menolak tindakan undang-undang tetapi mahu proses yang telus dan adil. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here