KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa menilai kesan perubahan subsidi diesel terhadap rakyat Sabah berdasarkan realiti setiap daerah terutama kawasan pedalaman yang sangat bergantung kepada kenderaan, bot sungai, pengangkutan laut dan jana kuasa.
Ketua UMNO Bahagian Kota Belud, Azuwan Marjan @ Norjan berkata, isu diesel bukan semata-mata berkaitan harga bahan api di pam, sebaliknya memberi kesan langsung terhadap kos kehidupan rakyat.
Katanya, kenaikan atau perubahan kos diesel akan bergerak daripada pengangkutan kepada logistik, seterusnya mempengaruhi harga barang dan makanan.
“Diesel, pengangkutan, logistik, harga barang, makanan, kos sara hidup,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 (PAU2026) di sini, hari ini.
Beliau berkata, Sabah mempunyai kawasan luas dengan jarak perjalanan yang jauh, menyebabkan kenderaan menjadi keperluan, bukannya kemewahan.
“Ada rakyat menggunakan kenderaan untuk membawa hasil pertanian, mengangkut barang, mendapatkan rawatan di hospital dan menghantar anak ke sekolah,” katanya.
Justeru, Azuwan mahu kerajaan menyediakan data yang lebih khusus mengikut daerah bagi menentukan jumlah penerima, penggunaan sebenar diesel, kawasan paling bergantung kepada bahan api berkenaan serta kesannya terhadap harga barang.
“Jangan hanya melihat angka nasional. Lihat realiti Sabah.
“Saya menggesa kuota BUDI MADANI bagi diesel diasingkan dan tidak dicampurkan dengan jumlah liter yang diberikan kepada kategori lain,” katanya.
Dalam isu penerbangan pula, Azuwan menegaskan rakyat Sabah tidak seharusnya dihukum oleh faktor jarak dan kedudukan geografi.
“Bagi rakyat Sabah, penerbangan bukan kemewahan. Ia jambatan penghubung kami dengan satu Malaysia,” katanya.
Beliau mahu mekanisme harga siling tambang penerbangan tidak hanya dilaksanakan ketika musim perayaan, sebaliknya dipertimbangkan sebagai harga maksimum yang munasabah sepanjang masa.
Katanya, kapasiti penerbangan juga perlu dirancang lebih awal sebelum musim puncak bagi mengelakkan tekanan tambang yang tinggi.
“Kami faham tentang kos dan keuntungan syarikat penerbangan, namun kami juga menggesa jika boleh pertimbangkan mekanisme khas selain pelajar, pesakit dan golongan yang memerlukan.
“Sabah dan Sarawak tidak memilih untuk jauh tetapi ini adalah realiti geografi kita,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















