Lelaki Jerman meninggal dunia selepas tergelincir dan mengalami kecederaan pada bahagian kepala ketika Gunung Jasar, Cameron Highlands. Gambar : JBPM Pahang

KUANTAN – Seorang lelaki warga Jerman meninggal dunia selepas terjatuh ketika menuruni Gunung Jasar, Cameron Highlands semalam.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Superintendan Azri Ramli berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian kira-kira jam 12.15 tengah hari.

Sejurus menerima maklumat, katanya anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama jabatan dan agensi berkaitan bergerak ke lokasi kejadian.

“Pasukan penyelamat telah menemukan seorang lelaki warganegara Jerman dalam keadaan tertiarap di dalam alur cerun bukit.

“Mangsa yang berusia 57 tahun telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dan mayatnya dibawa ke Hospital Sultanah Hajjah Kalsom, Cameron Highlands untuk proses bedah saisat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Azri, mangsa bersama isterinya mula mendaki Gunung Jasar kira-kira jam 10 pagi.

Ketika dalam perjalanan menuruni cerun, mangsa dipercayai telah tergelincir sebelum terjatuh dan mengalami kecederaan pada bahagian kepala.

Jelasnya, hasil temubual awal bersama isteri mangsa mendapati, mangsa tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan sebelum kejadian terbabit.

“Siasatan awal juga mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian tersebut, namun bedah siasat akan dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian,” katanya.

Tambah Azri, semakan dengan Pejabat Hutan Cameron Highlands turut mendapati mangsa dan isterinya tidak mempunyai permit untuk menjalankan aktiviti pendakian di gunung terbabit.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai, khususnya para pendaki dan pengunjung kawasan tanah tinggi agar sentiasa mengutamakan aspek keselamatan, mematuhi arahan pihak berkuasa serta memastikan permit atau kebenaran yang diperlukan diperoleh sebelum menjalankan sebarang aktiviti pendakian di kawasan hutan simpan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here