Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Mohammad Sollehin Mohamad Tajie bercakap kepada media ketika di Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MOHD ADZLAN, 11 SEPTEMBER 2026.

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menyifatkan slogan ‘hentikan guru’ sebagai gambaran keresahan rakyat terhadap gaya kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa gemar menegur dan mengkritik, namun gagal menunaikan sebahagian janji politiknya.

Ketua Penerangannya, Mohammad Sollehin Mohamad Tajie berkata, slogan berkenaan bukan lagi sekadar bahan politik dalam kalangan UMNO, sebaliknya semakin mendapat perhatian rakyat termasuk menerusi platform media sosial seperti TikTok.

Menurutnya, keadaan itu menggambarkan wujudnya persepsi bahawa kerajaan pimpinan Anwar bercakap mengenai sesuatu perkara secara berbeza berbanding pelaksanaannya selepas mengambil alih pentadbiran negara.

“Ini rasa keluhan rakyat. ‘Hentikan guru’ dengan memberi istilah bahawa cukup dengan retorik cerita. Yang di depan lain, di belakang menikam; di depan manis, menanam tebu di bibir.

“Tetapi hakikatnya di belakang direncana pelbagai perkara yang sangat berbeza,” katanya ketika membahas ucapan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 (PAU2026), di sini, hari ini.

Sollehin berkata, antara perkara yang dipersoalkan termasuk janji berkaitan harga minyak, penghapusan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) serta tol yang menurutnya akhirnya tidak berlaku seperti yang dijanjikan.

Beliau turut mendakwa, slogan ‘hentikan guru’ kini membawa mesej lebih besar supaya Perdana Menteri tidak lagi bercakap mengenai kemungkinan meneruskan penggal kedua pentadbirannya.

“Bagi saya hari ini, tagline ‘hentikan guru’ akan jadi tagline paling popular kepada Perdana Menteri.

“Maksud kita, hentikanlah bercerita-cerita untuk sambung penggal kedua sebagai Perdana Menteri. Itu mesej sebenar,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Sollehin turut mempersoalkan tindakan kerajaan membangkitkan semula isu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) yang sudah melalui proses beberapa tahun lalu.

Beliau mendakwa, sekiranya wujud salah laku, tindakan sepatutnya diambil lebih awal dan bukannya hanya dibangkitkan semula selepas tempoh yang panjang.

“Kalau betul ada salah laku, sepatutnya sudah tentu RCI itu dibangkitkan dari peringkat awal. Tetapi tiada apa berlaku.

“Tiba-tiba perkara yang sudah tiga tahun lepas dibangkitkan dan semua orang ditangkap,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan individu yang ditahan atau direman bagi membantu siasatan belum boleh dianggap bersalah selagi belum melalui proses perbicaraan di mahkamah.

Sollehin turut mendakwa wujud kecenderungan menggambarkan individu yang disiasat seolah-olah telah dijatuhi hukuman, sekali gus menyifatkannya sebagai bentuk tekanan politik.

Mengulas isu percukaian pula, Sollehin mempertikaikan pendirian kerajaan mengenai GST dan SST yang disifatkannya sebagai dasar tidak konsisten.

Menurutnya, pendirian kerajaan berhubung sistem percukaian perlu jelas kerana ketidakpastian dasar boleh memberi kesan kepada keyakinan ekonomi.

“Kalau nak GST, GST. Kalau nak SST, SST. Mana ada benda dua alam.

“Dia kena fokus apa nak buat. Kalau padi katakan padi, kalau jadi katakan jadi. Kalau GST, katakan GST, tidak fikir nanti SST,” katanya.

Katanya, dasar yang sering berubah boleh mewujudkan keadaan ekonomi yang tidak stabil dan meningkatkan ketidakpastian kepada rakyat serta pemain industri.

Dalam masa sama, beliau berpandangan kerajaan tidak seharusnya takut melaksanakan dasar yang mungkin tidak popular sekiranya langkah berkenaan diyakini memberi manfaat jangka panjang kepada negara.

“Kadang-kadang kita kena buat sesuatu yang tidak popular tetapi baik untuk negara.

“GST adalah satu penyelesaian untuk memastikan wang haram tidak berlegar dalam negara dan hasil itu boleh disalurkan semula kepada bantuan rakyat,” katanya.

Menyentuh isu pengampunan diraja terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Sollehin berkata UMNO kekal menghormati dan menjunjung tinggi institusi diraja.

Beliau berkata, Najib mempunyai hak untuk mengemukakan permohonan pengampunan, manakala keputusan mengenai perkara itu adalah hak prerogatif Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

“UMNO seperti biasa menjunjung institusi diraja sebagai institusi yang sangat dihormati. Kita ada hak, Datuk Seri Najib ada hak untuk memohon pengampunan kepada institusi diraja.

“Walau apa juga keputusannya, kita terima dengan hati terbuka,” katanya.

Menurutnya, UMNO tetap berdoa agar suatu hari nanti hasrat penyokong parti untuk melihat Najib kembali bersama mereka dapat direalisasikan.

Katanya, sebarang kekecewaan dalam kalangan keluarga dan penyokong Najib berhubung keputusan pengampunan tidak seharusnya ditafsirkan sebagai hilangnya keyakinan terhadap institusi diraja.

“Tuanku sudah membuat pertimbangan sebaik-baiknya. Agong melihat daripada pelbagai sudut dan kita yakin satu hari nanti impian dan hasrat kita juga akan tercapai, Insya-Allah,” katanya.

Dalam pada itu, Sollehin menyifatkan ucapan Ahmad Zahid pada perhimpunan kali ini sebagai antara ucapan terbaik yang pernah didengarinya sejak UMNO tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Malah, beliau melihat ucapan itu sebagai gambaran hala tuju seorang pemimpin yang bersedia untuk kembali menerajui negara.

“Buat pertama kali, saya benar-benar suka ucapan hari ini. Ini ucapan yang kita selalu dengar ketika kita menjadi kerajaan.

“Ini ucapan ‘the next Prime Minister in waiting’,” katanya.

Sollehin berkata, Zahid bukan sahaja menyentuh hala tuju UMNO, malah menggariskan persoalan ekonomi, keresahan penjawat awam, isu pencen, gaji serta masa depan negara.

“Cabaran terbesar UMNO kini ialah menterjemahkan kekuatan parti kepada keyakinan rakyat sehingga akhirnya rakyat kembali memberikan mandat untuk memimpin negara,” katanya.

Sollehin berkata, UMNO perlu kembali menjadi parti yang memimpin dan bukan sekadar menjadi parti pelengkap dalam landskap politik negara.

“We should become a leader. UMNO harus jadi parti yang memimpin negara.

“Tetapi cabarannya besar. Bagaimana kekuatan parti itu harus diterjemahkan kepada keyakinan rakyat dan akhirnya memberi mandat kepada kita untuk memimpin negara,” katanya.

Beliau turut menyambut baik penegasan Presiden UMNO bahawa kerjasama politik tidak seharusnya menyebabkan identiti UMNO dan Barisan Nasional (BN) terhakis.

Katanya, kerjasama dengan parti lain perlu dilihat sebagai persefahaman politik tanpa mengorbankan identiti dan perjuangan asal setiap parti.

“Tidak ada ‘turn back’ dengan PH. Semua orang faham jambatan itu sudah runtuh, jambatan itu sudah terbakar.

“Ini masanya untuk UMNO kembali memimpin negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here