Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said

KUALA LUMPUR – Penerangan UMNO Malaysia memandang serius laporan berhubung penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) serta kewujudan akaun palsu yang bertujuan mempengaruhi landskap perbincangan politik tanah air.

Ketua Penerangannya, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pendedahan syarikat teknologi Anthropic yang dilaporkan portal berita Channel News Asia mengenai operasi libat urus membabitkan kira-kira 1,000 akaun X palsu, laman berita rekaan dan penyebaran tuduhan palsu perlu diberi perhatian wajar.

Menurutnya, walaupun belum ada bukti operasi tersebut berjaya mengubah keputusan pilihan raya atau pendirian pengundi, persoalan utama yang perlu dirungkai ialah pihak yang mengendalikan, membiayai serta dalang di sebalik gerakan berkenaan.

“Teknologi tidak seharusnya digunakan untuk mencipta gambaran seolah-olah sesuatu pandangan itu mewakili suara majoriti, sedangkan ia digerakkan secara tidak organik.

“Perkara yang lebih membimbangkan ialah manipulasi di ruangan komen. Akaun palsu atau bot berasaskan AI boleh digunakan untuk menghasilkan banyak komen bagi menyokong sesuatu pihak atau menyerang pihak lain,” katanya dalam kenyataan.

Azalina turut mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah terperdaya dengan maklumat di media sosial termasuk kewujudan halaman Facebook yang menyerupai portal berita rasmi serta lontaran pandangan di ruangan komen.

“Jumlah komen yang banyak, perkongsian mahupun tanda suka (likes) tidak semestinya mencerminkan kebenaran atau pandangan sebenar majoriti rakyat.

“UMNO sendiri sering menjadi sasaran serangan persepsi negatif di media sosial, namun parti itu tetap menghormati hak rakyat untuk mengkritik mana-mana pemimpin atau kerajaan jika ia berasaskan fakta,” ujarnya.

Menyentuh maklum balas Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung isu tersebut, Azalina berharap tindakan penguatkuasaan dan siasatan dapat dijalankan secara saksama.

“Undang-undang tidak boleh mempunyai satu ukuran untuk kawan dan satu lagi ukuran untuk lawan.

“Jika penyokong parti pemerintah melanggar undang-undang, ambil tindakan.

“Jika penyokong parti pembangkang melanggar undang-undang, ambil tindakan.

“Malaysia memerlukan ruang digital yang bebas daripada manipulasi, tetapi pada masa yang sama kekal terbuka kepada kritikan dan perbezaan pandangan,” katanya lagi.

Tambahnya, demokrasi negara mesti dipertahankan daripada sebarang bentuk manipulasi dan campur tangan asing.  – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here