Logo Jabatan Penjara Malaysia. Foto FAREEZ FADZIL, 04 APRIL 2024.

KUALA LUMPUR – Jabatan Penjara Malaysia menegaskan,  dakwaan pelepasan Program Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) diberikan atas layanan berbeza atau dwistandard adalah tidak tepat.

Jelasnya, setiap pertimbangan dibuat berdasarkan kelayakan , penilaian dan proses yang ditetapkan, manakala prospek yang diberikan PBSL kekal tertakluk kepada pengawasan sehingga selesai menjalani baki tempoh hukumannya.

Menurut Jabatan Penjara, untuk dipertimbangkan mengikuti PBSL, seseorang prospek perlu terlebih dahulu memenuhi syarat kelayakan, termasuk telah menjalani sekurang-kurangnya satu pertiga daripada tempoh hukuman.

Ujarnya, pemenuhan tempoh itu bagaimanapun tidak memberikan kelayakan secara automatik untuk seseorang prospek diberikan PBSL.

“Setiap prospek perlu melalui proses saringan dan penilaian yang mengambil kira antaranya sahsiah dan tingkah laku sepanjang menjalani hukuman, tahap kepulihan, penyertaan dalam Program Pembangunan Insan, kesediaan kembali ke komuniti, sokongan keluarga, kesesuaian penempatan, peluang pekerjaan serta keperluan pemantauan selepas pelepasan.

“Penilaian dan pertimbangan PBSL di peringkat Ibu Pejabat Penjara Malaysia seterusnya dibuat melalui Jawatankuasa PBSL yang dipengerusikan oleh Komisioner Jeneral Penjara serta dianggotai pegawai-pegawai kanan dan wakil agensi berkaitan.

“Mekanisme ini memastikan setiap pertimbangan dibuat berdasarkan kelayakan dan hasil penilaian terhadap prospek, selaras dengan proses yang ditetapkan oleh Jabatan Penjara Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas mengenai pelepasan bekas Menteri Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony, Jabatan Penjara Malaysia menegaskan, pertimbangan untuk mengikuti PBSL dibuat setelah beliau mencapai tempoh kelayakan yang ditetapkan.

Pelepasan Peter melalui PBSL tidak bermaksud baki hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah diketepikan.

Sebaliknya, Peter terus menjalani baki tempoh hukuman dalam komuniti dan kekal tertakluk kepada syarat, peraturan serta pemantauan yang ditetapkan sepanjang tempoh berkenaan.

Jabatan Penjara Malaysia menambah, PBSL dilaksanakan kepada prospek yang layak tanpa mengira latar belakang, kedudukan, status atau pengaruh seseorang yang memberikan kelebihan serta pengecualian daripada proses kelayakan dan penilaian yang ditetapkan.

Pelaksanaan PBSL berteraskan prinsip Pemulihan Dalam Komuniti yang mengimbangi kepentingan keselamatan awam, pemulihan individu, pengawasan serta persediaan untuk reintegrasi ke dalam keluarga dan masyarakat.

Malah, pendekatan ini merupakan sebahagian daripada proses pemulihan dalam sistem koreksional dan tidak mengubah atau mengetepikan hukuman yang telah diputuskan oleh mahkamah.

“Pendekatan ini merupakan sebahagian daripada proses pemulihan dalam sistem koreksional dan tidak mengubah atau mengetepikan hukuman yang telah diputuskan oleh mahkamah,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here