Mayat kedua-dua mangsa lemas di kolam tadahan sebuah tapak lombong Batu Talam, Raub hari ini.

KUANTAN – Dua pekerja pemasangan paip ditemui mati lemas di Lombong Batu Talam, Raub dekat sini tengah hari tadi.

Mayat mangsa, Siak Teck Wah, 53, dan Adi Piter, 25, ditemukan pasukan bomba dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Menurut Komander Operasi, Khairul Anuar Yaacob, kedua-dua  lelaki itu lemas setelah membuat kerja-kerja pemasangan paip di dalam lombong tersebut.

“Balai Bomba dan Penyelamat Raub telah diarahkan ke lokasi kejadian dengan kekuatan logistik satu jentera FRT, sebuah Kembara dengan keanggotaan seorang pegawai bersama enam anggota.

“Operasi pencarian mangsa dibantu oleh khidmat penggali dengan cara membuat aliran air bagi mengurangkan paras air lombong,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Kedua-dua mangsa ditemui pukul1.20 petang dan diangkat menggunakan tali sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Difahamkan mayat kedua-dua mangsa ditemukan tersangkut pada paip saluran keluar di dasar kolam yang dianggarkan sedalam lima meter.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast