Idris Ahmad

KUALA LUMPUR – Pengembangan agama kepada penganut lain selain Islam adalah dibolehkan di sisi undang-undang, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Idris Ahmad.

Beliau menjelaskan, hak kebebasan beragama di bawah Perkara 11 juga masih dijamin walaupun Rang Undang-Undang (RUU) itu digubal dan diluluskan.

Katanya, RUU itu juga bukan suatu perkara yang baharu sebaliknya 10 negeri telah meluluskan enakmen yang sama sejak 1980-an lagi kecuali empat negeri belum berbuat demikian.

“Negeri itu ialah Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya), Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak,” katanya dalam kenyataan kepada media petang ini.

Beliau berkata demikian berikutan timbul isu penggubalan RUU Akta Kawalan dan Sekatan Pengembangan Doktrin atau Kepercayaan Agama Dalam Kalangan Orang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) yang disalahertikan oleh segelintir pihak.

Idris berkata, polemik itu timbul selepas jawapan soalan tambahan, sesi soalan lisan di Parlimen oleh timbalannya, Datuk Ahmad Marzuk Shary pada 26 November lalu yang mana telah disebarkan dan dipetik di luar konteks oleh pihak tertentu.

Menurut Ahli Parlimen Bukit Gantang itu, jawapan berkenaan asalnya penjelasan berhubung perancangan strategik kerajaan bagi menggubal sekurang-kurangnya 11 undang-undang syariah utama merangkumi penggubalan undang-undang baharu dan pindaan sedia ada, termasuk cadangan penggubalan RUU akta tersebut.

Penjelasan itu, katanya, berpaksikan kepada Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan.

Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan (dalam konteks Wilayah Persekutuan) adalah untuk melindungi kesucian agama Islam, iaitu dengan melarang penyebaran agama lain ke atas orang Islam.

Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa:

“Undang-undang negeri dan berkenaan dengan Wilayah-wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam”.

Kedua, kawalan dan sekatan penyebaran agama bukan Islam berdasarkan Perkara 11(4), yang menjadi punca kuasa RUU itu, hanya dihadkan kepada orang Islam sahaja, bukan kepada sesama penganut agama lain.

Justeru, tambah Idris lagi, Wilayah Persekutuan turut diberikan kuasa yang sama untuk menggubal undang-undang berkaitan agama, yang terpakai hanya di Wilayah-wilayah Persekutuan sama seperti negeri-negeri.

“Dalam konteks ini, RUU yang dicadangkan akan digunapakai di peringkat Wilayah-wilayah Persekutuan sahaja, manakala bagi negeri-negeri lain yang belum menggubal enakmen ini, penggubalannya bergantung kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.

“Proses penggubalan RUU ini tetap sama seperti RUU lain. Ia akan mengikut tertib sewajarnya.

“RUU ini tetap memerlukan persetujuan dasar di peringkat Kabinet, perkenan Yang di-Pertuan Agong dan perlu diluluskan di Parlimen,” kata beliau.

Idris percaya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia telah meneliti sebaiknya perkara itu dan memastikan proses penggubalan RUU dibuat mengikut tertib yang betul serta bertepatan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berharap, isu itu tidak dipolemikkan oleh pihak tertentu sehingga menggugat keharmonian dan perpaduan Keluarga Malaysia. – MalaysiaGazette