Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Perak kesal dan kecewa dengan kelewatan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam menangani isu kenaikan harga ayam.

Walaupun selepas beberapa minggu kenaikan harga itu berlaku, kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri baharu masih gagal menyelesaikan isu harga barangan mentah yang naik secara mendadak.

Naib Ketua Pemuda Amanah negeri, Ahmad Munzirie Ahmad Kabir berkata, perlu ada garis panduan jelas melalui skim harga kawalan barangan bagi KPDNHEP untuk menangani isu itu.

Ahmad Munzirie Ahmad Kabir

“Kita mencadangkan kepada kerajaan menetapkan harga siling terlebih dahulu sebelum keputusan konstruktif dapat dibuat.

“Kita juga menggesa kerajaan mengawal harga input seperti benih ayam dan makanan ayam bagi memastikan harganya terkawal serta tidak melambung tinggi.

“Ketika rakyat sedang diuji dengan tekanan ekonomi akibat pandemik Covid-19 ini, kerajaan seharusnya lebih bertanggungjawab dalam hal kenaikan harga ini kerana ia membebankan orang ramai,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Ahmad Munzirie, Pemuda Amanah Perak mengharapkan kerajaan perlu segera responsif dan cakna terhadap masalah itu bagi memastikan kenaikan harga ayam dapat dikawal sewajarnya. – MalaysiaGazette