Rodzi Md. Saad

KUALA LUMPUR – Setelah meneliti pembentangan Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai penialaian risiko dan trend jangkitan Covid-19, kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di lima lokaliti.

Menurut Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Datuk Rodzi Md. Saad, lokaliti itu ialah Kampung Pasu dan Kampung Penderas dalam perkampungan Orang Asli di Kuala Krau, Temerloh.

Manakala Pos Sinderut, Mukim Ulu Jelai, Lipis dan Felda Keratong 5, Rompin di Pahang serta Kampung Kopungit di Kota Kinabalu, Sabah.

Kata beliau, lima kawasan itu dikenakan PKPD selama dua minggu mulai 12 hingga 25 September ini dengan SOPnya sama seperti diumumkan sebelum ini.

“Dalam mesyuarat hari ini juga, kerajaan turut mendengar dan meneliti pembentangan oleh KKM mengenai situasi semasa dan bersetuju menamatkan PKPD di lima lokaliti bermula esok, 11 September 2021.

“Lokaliti itu ialah Kampung Bayu Lalang, Kampung Banggol Kemian dan Kampung Repak dalam Mukim Pasir Mas termasuk sebahagian kampung dalam Mukim Gual Periok, Rantau Panjang.

“Dua lokaliti lagi ialah Kampung Debut di Ranau dan Kampung Tindai Kolopis di Penampang, Sabah,” katanya dalam kenyataan epada media, hari ini. – MalaysiaGazette