Nadzir Helmi

KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) menegaskan sebarang usaha mengiktiraf Sijil Pelajaran Bersepadu (UEC) hendaklah dibuat secara berhati-hati, bukan dengan tergesa-gesa.

Ketua Penerangannya, Nadzir Helmi berkata, meluluskan UEC yang mengikut sukatan pelajaran dari negara Taiwan pastinya sedikit sebanyak akan memberikan kesan bagi masa depan negara Malaysia.

Tegas beliau, pengiktirafan UEC tanpa memikirkan kesan dan akibat di sebaliknya, akan menjejaskan perpaduan kaum dan pembentukan negara bangsa yang selama ini telah dibina.

Ia juga, katanya, bercanggah dengan lima aspirasi pendidikan yang telah digariskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, terutama keberhasilan dalam mengecilkan jurang pendidikan antara bandar dan luar bandar serta menggugat perpaduan rakyat akibat silibus pembelajaran yang berbeza.

“Selain itu, usaha bagi melahirkan rakyat Malaysia yang dapat memberikan keharmonian pada negara, kemakmuran pada keluarga dan masyarakat seperti termaktub dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan dikhuatiri tidak akan tercapai.

“Ini kerana silibus UEC yang digunakan masa ini tidak memupuk sifat patriotik dan cintakan negara dalam diri pelajar sepertimana sistem pendidikan kebangsaan.

“Oleh itu, DPPM berpandangan sebarang usaha mengiktiraf UEC harus dibuat secara berhati-hati serta dibincangkan terlebih dahulu secara bersama,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau mengulas laporan sebuah portal kononnya, kerajaan akan membuat perjanjian keyakinan dan bekalan (CSA) dengan parti pembangkang, di mana salah satu syaratnya adalah dengan mengiktiraf UEC.

Portal itu pada Rabu melaporkan, UEC yang selama ini menjadi subjek kontroversi bakal diluluskan kerajaan.

Kelulusan yang diberikan tersebut adalah bersyarat seperti wajib lulus Bahasa Melayu dan subjek Sejarah.

Tindakan itu berikutan tuntutan pihak tertentu dari pembangkang yang mengenakan beberapa syarat ketat untuk memberikan sokongan CSA kepada kerajaan pada 14 September ini.

Menurut Nadzir, DPPM akan meminta penjelasan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkenaan hal itu.

Beliau menuntut Perdana Menteri mendedahkan secara terperinci berkenaan CSA antara kerajaan dan pembangkang agar rakyat jelas tuntutan mereka serta tidak ada percanggahan dengan aspirasi rakyat serta negara diluluskan akibat muslihat politik itu. – MalaysiaGazette