Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN – Kerajaan negeri bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Ombudsman Negeri Pahang (JONP) bagi memperkukuhkan lagi kualiti pengurusan aduan berkaitan integriti dalam urusan penyampaian perkhidmatan awam.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, penubuhan JONP diluluskan menerusi mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Pahang pada Rabu lepas.

Jelasnya JONP dipengerusikan oleh Ahli Exco kerajaan negeri, Datuk Seri Ir Mohd Soffi Abdul Razak dan keahliannya terdiri daripada Setiausaha Kerajaan Negeri; Penasihat Undang-Undang Negeri; Pengarah, Jabatan Audit Negara Negeri; Pengarah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri; Ketua, Unit Integriti, Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri dan Ketua Unit Audit Dalam, Pejabat SUK Negeri.

“Unit Integriti, Pejabat SUK Negeri ialah urusetia kepada JONP dan ia (JONP) akan mengadakan mesyuaratnya secara berkala bagi menangani isu-isu berkaitan yang di bawah bidang kuasanya.

“JONP adalah menurut model diguna pakai oleh Kerajaan Negeri Sarawak yang merupakan perintis dalam kalangan negeri-negeri dan Kerajaan Persekutuan memperkenal dan melaksanakannya.

“Jawatankuasa ini telah pertama kali dicadangkan kepada Kerajaan Negeri oleh Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC), Jabatan Perdana Menteri pada tahun lepas,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Tambah Wan Rosdy, usaha untuk merealisasikannya perkara itu dibuat termasuk kajian mendalam oleh pegawai-pegawai Unit Integriti, Pejabat SUK Negeri .

Antara peranan JONP ialah meneliti aduan salah laku jenayah rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan serta pelanggaran tata kelakuan dan etika organisasi yang melibatkan perkhidmatan awam yang tidak dapat diselesaikan pada peringkat jabatan dan agensi.

Manakala bidang kuasa JONP bertanggungjawab meneliti aduan-aduan berkaitan salah laku jenayah rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan serta pelanggaran tata kelakuan dan etika organisasi yang tidak dapat diselesaikan di peringkat jabatan dan agensi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast