Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) bersedia memberi bayaran pendahuluan sehingga 20 peratus kepada syarikat produksi seni kreatif di bawah kementerian itu yang akan memulakan penggambaran tidak lama lagi.

KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) bersedia memberi bayaran pendahuluan sehingga 20 peratus kepada syarikat produksi seni kreatif di bawah kementerian itu yang akan memulakan penggambaran tidak lama lagi.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata bayaran pendahuluan itu dapat membantu syarikat produksi yang membuat kandungan bersama stesen televisyen, menampung kos operasi bagi menyiapkan hasil kreatif mereka yang sebelum ini tertangguh akibat pandemik COVID-19.

“Kali ini kita buat keputusan untuk beri bayaran advanced (pendahuluan) sebab mereka dah lama terkongkong dan menghadapi kesusahan kerana walaupun sekarang dah ada projek untuk buat kandungan bagi siaran, tetapi nak memulakan itu modal dah tak cukup.

Simpanan dah banyak digunakan masa susah baru ini, jadi kita ambil pendekatan untuk berikan advanced (pendahuluan) 20 peratus ke atas projek kos yang mereka hendak lakukan supaya mereka yang terlibat dalam keluarkan content (kandunan)  untuk siaran dapat take off (dilancarkan) serta merta,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan MyCreative Ventures dan Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (CENDANA) di sini hari ini.

Selain itu Annuar berkata KKMM juga akan memberi bantuan sehingga RM10,000 kepada penggiat seni kreatif yang terkesan untuk membeli atau mengganti peralatan seni mereka.

Katanya beliau sebelum ini mendapat laporan terdapat beberapa penggiat seni yang terpaksa menjual peralatan muzik mereka untuk menampung keperluan hidup akibat COVID-19.

“Saya ada berjumpa beberapa buskers (penghibur jalanan) yang menjual alat muzik mereka baru-baru ini sebab dah tak ada duit jadi sekarang elok kita bagi bantuan untuk mereka membeli atau mengganti alat-alat yang diperlukan untuk kembali aktif.

Saya tak mahu kita membuka industri kreatif dan kemudian membiarkan mereka kerana KKMM bertanggungjawab untuk kembalikan suasana keceriaan keluarga Malaysia sebab kita telah berada terlalu lama dalam suasana yang segala terkongkong dan kehidupan menjadi tertekan,” katanya.

Menyentuh mengenai sesi penggambaran, beliau berkata penggiat industri perlu mengamalkan disiplin kendiri dalam memastikan semua yang terlibat lengkap divaksin selain mengamalkan prosedur operasi standard yang ditetapkan agar tiada penularan COVID-19 berlaku.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast