Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

KUANTAN – Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang menyambut baik saranan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan agar Pas membuat pendirian sama ada mahu bersama Muafakat Nasional (MN) atau Perikatan Nasional (PN) pada  Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 akan datang.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pendirian itu perlu dinyatakan bagi mengelakkan berlakunya persengketaan antara  dua parti itu kelak.

“Saranan ini wajar supaya tidak timbul sebarang konflik pada pilihan raya umum tersebut jika kedua-dua MN dan PN membuat keputusan untuk meletakkan calon masing-masing bertanding di kawasan-kawasan pilihan raya yang sama.

Jelasnya, di Pahang, seperti mana diperakui sendiri oleh Pesuruhjaya Pas Negeri,  Ustaz Rosli Jabar dan Timbalannya,  Andansura Rabu, kedua-dua pilihannya ialah MN yang bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN).

“MN juga telah diperakui sebagai model terbaik untuk politik negeri ini, demi kejayaan cemerlang menghadapi PRU-15.

Justeru Wan Rosdy berharap agar Pas Pusat dapat turut membuat pendiriannya seperti mana saranan Mohamad.

Tindakan ini juga dapat mengelak timbul kekeliruan dan perasaaan syak-wasangka bukan sahaja dalam kalangan pemimpin dan ahli UMNO, malah saya percaya, juga dalam kalangan pemimpin dan ahli Pas sendiri,” katanya

Terdahulu, Mohamad yang juga Pengarah Pilihan Raya UMNO itu  menjelaskan pembahagian kerusi yang diperuntukkan bagi menghadapi PRU-15 sudah dipersetujui di peringkat parti dalam BN.

Jelasnya, PAS perlu membuat keputusan sama ada mahu bersama MN ataupun PN bagi menghadapi PRU-15 termasuk pada peringkat DUN dan menyatakan keputusan serta pendirian jika mahu bersama UMNO. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Kalau setakat UMNO bagi PAS sedikit kerusi berbanding Amanah lebih baik PAS bersama mereka yang tiada perasaan busuk hati. Yang penting PAS tidak bertanding dalam 3 penjuru yang akan merugikan orang melayu dan menguntungkan PH.

Comments are closed.