Khairy Jamaluddin.

GEORGE TOWN – Pulau Pinang dijangka berhadapan keadaan kritikal bagi tempoh dua hingga tiga minggu akan datang sementara menunggu kesan vaksinasi menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Bagaimanapun, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menegaskan keadaan itu akan reda selepas kadar vaksinasi tinggi diperoleh sekali gus mampu menurunkan kadar kemasukan dan kematian pesakit Covid-19 di negeri ini.

Jelas beliau, antara strategi yang akan dilaksanakan sebagai langkah penurunan kes jangkitan termasuk penyelesaikan program vaksinasi yang merupakan perlindungan penting.

“Saya diberitahu bahawa Pulau Pinang akan mencapai 100 peratus lengkap vaksin dewasa pada 31 Oktober ini. Susulan itu, pihak kami sedang mengusahakan pemberian vaksin kepada mereka yang belum menerimanya.

“Selain itu, kita juga sedang menjejaki 10 peratus golongan dewasa yang belum menerima satu dos vaksin.

“Kita akan melaksanakan ‘mobile outreach’ dengan pergi rumah ke rumah melibatkan wakil rakyat untuk ‘mop up’ mereka yang belum terima vaksin, katanya pada sidang media di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, KKM dengan kerajaan negeri akan melaksanakan pemberian vaksin secara ‘walk in’ kepada penduduk bukan warganegara.

“Di Pulau Pinang sebanyak 10 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dibuka untuk penduduk tempatan menerim vaksin secara ‘walk in’ dan seramai 5,507 individu hadir dalam tempoh tiga hari ia dilaksanakan.

“Kita jangka kehadiran secara ‘walk in’ membabitkan rakyat tempatan akan berkurangan tidak lama lagi jadi kita akan laksanakannya kepada mereka yang bukan warganegara pula.

“Kita akan pilih beberapa PPV untuk pelaksanaan itu seperti mana yang dibuat di Lembah Klang sebelum ini,” kata beliau.

Tambah Khairy, ini juga merupakan usaha pihaknya untuk mempercepatkan pemberian vaksin kepada golongan yang belum menerima suntikan melalui Program Imunisasi Industri Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS).

“Kita akan mengadakan kempen komunikasi dalam bahasa warga asing untuk menggalakkan mereka hadir bagi menerima vaksin di PPV yang menyediakan perkhidmatan ‘walk in’,” jelas beliau.

Sementara itu, Khairy turut mengumumkan pelantikan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim sebagai penyelaras antara kerajaan negeri Pulau Pinang dan Kerajaan Pusat berhubung isu-isu membabitkan Covid-19.

“Perkara ini merupakan pendekatan bipartisan yang diambil bagi mengatasi masalah yang berlaku serta mempercepat usaha menangani jangkitan Covid-19 di negeri ini” kata Khairy. – MalaysiaGazette