Orang ramai mengimbas kod MySejahtera sebelum memasuki masjid pada hari pertama solat sunat terawih ketika tinjauan Lensa Malaysia Gazette di Masjid Putra,Putrajaya. Foto, FIKRI YAZID 12 APRIL 2021.Foto, FIKRI YAZID 12 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – Masjid Putra Putrajaya tampil menjelaskan sebuah video yang tular mengenai layanan berbeza kepada jemaah yang hadir solat Jumaat  semalam di masjid itu.

Masjid itu dalam satu kenyataan berkata, pengurusan kehadiran jemaah di masjid itu sama ada solat fardu lima waktu atau solat Jumaat adalah mematuhi garis panduan dan ketetapan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Menurut kenyataan itu, bagi solat Jumaat, kapasiti jemaah di Masjid Putra telah ditetapkan seramai 300 orang.

“Daripada jumlah tersebut, pihak pengurusan masjid turut memperuntukkan sejumlah kuota untuk jemaah tetap yang telah mendaftar lebih awal dan memaklumkan jangkaan waktu ketibaan di masjid bagi memudahkan pihak pengurusan masjid memastikan jumlah kehadiran adalah bertepatan dengan kuota yang ditetapkan.

“Tidak dapat dinafikan, saban minggu Masjid Putra menerima kehadiran para jemaah melebihi kapasiti yang ditetapkan sejak jam 11.00 pagi untuk menunaikan solat Jumaat,” kata kenyataan itu.

Masjid Putra memberitahu, apabila kapasiti jemaah telah mencukupi, pihak pengurusan masjid akan menutup pinta pagar utama masjid menyebabkan jemaah yang hadir kemudian tidak dapat memasuki masjid. Pihak masjid memaklum dan menasihatkan para jemaah secara baik mengenai perkara tersebut.

“Bagi memelihara nama baik institusi masjid, pihak pentadbiran masjid akan berusaha sedaya upaya menyediakan perkhidmatan yang terbaik kepada jemaah yang terdiri daripada pelbagai kedudukan

“Justeru, kami bersedia mempertingkatkan lagi kualiti pengurusan demi memastikan pelanggan setia kami gembira dan berpuas hati dengan khidmat yang diberi,” katanya.

Ujar kenyataan itu lagi, sebarang cadangan dan maklum balas bolehlah menghubungi terus pihak Masjid Putra.

“Pihak Masjid Putra memohon kemaafan atas kekhilafan yang berlaku dalam hal ini,” katanya lagi.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast