Zaid Ibrahim

KUALA LUMPUR – Rakyat tidak lagi teruja dengan janji kerajaan untuk menyediakan akses internet yang lebih baik kecuali mengambil sikap tunggu dan lihat.

Ini kerana rakyat tidak mahu kekecewaan mereka dengan janji yang ditabur beberapa Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM) sebelum ini berulang lagi.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim menegaskan, begitu juga dengan janji Menteri KKMM yang baharu, Tan Sri Annuar Musa berhubung akses internet sebagai hak asasi manusia.

Katanya, dua menteri sebelum ini pernah menjanjikan pelbagai kemudahan dan keistimewaan kepada rakyat dalam mendapat akses internet yang lebih baik, tetapi menghampakan.

“Saya tidak mahu terlalu teruja apabila mendengar Annuar mengatakan bahawa akses internet adalah hak asasi manusia tetapi saya lebih kepada menantikan tindakannya dan saya berharap beliau dapat menggunakan peruntukan untuk tujuan itu dengan sebaiknya,” katanya menerusi ciapan Twitternya hari ini.

Semalam, Annuar menyatakan akan mengumumkan langkah kementerian itu dalam menjayakan aspirasi akses kemudahan internet sebagai hak asasi manusia.

Beliau dilaporkan berkata, akses internet merupakan satu perkara keutamaan yang akan beliau beri perhatian ketika menerajui KKMM. – MalaysiaGazette