Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa menyampaikan bantuan kepada penerima semasa Program Penyerahan Bantuan Makanan Rumah Prihatin kepada Golongan Memerlukan ketika di Grand Seasons Hotel, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 12 SEPTEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Persetujuan jemaah menteri minggu lepas telah memutuskan untuk kerajaan komited melaksanakan satu agenda transformasi tersusun bersama gabungan Pakatan Harapan (PH).

Tan Sri Annuar Musa yang merupakan seorang ahli jawatankuasa Jawatankuasa Memorandun Persefahaman Demi Rakyat yang dibentuk mewakili kerajaan bersama PH berkata, apa yang diusahakan oleh Perdana Menteri ialah untuk memastikan kerajaan sekarang mempunyai political will melaksanakan agenda itu.

Jelas beliau, apa yang Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob umumkan adalah sebahagian daripada agenda transformasi tersebut dan kerajaan mengambil sikap terbuka kepada pengesyoran lain untuk melengkapkan lagi langkah transformasi itu.

Agenda transformasi itu melibatkan pentadbiran, politik, Parlimen dan tata kelola kerajaan secara keseluruhannya, katanya.

“Ini supaya kerajaan sekarang menjadi lebih inklusif, sebuah kerajaan yang dapat menangani segala permasalahan negara baik dari sudut pandemik Covid-19, pemulihan ekonomi dan perpaduan nasional dengan lebih baik.

“Apa yang ingin kita lihat sekarang ialah memastikan negara ini dapat diuruskan pasca Covid-19 terutama dalam fasa endemik Covid dengan lebih berjaya dan juga bagi memastikan Pelan Pemulihan Negara (PPN) akan dapat keberhasilan sepertimana yang kita rancangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media majlis penyerahan bantuan makanan kepada golongan memerlukan @ Rumah Prihatin dan petugas barisan hadapan di Hotel Grand Seasons hari ini.

Semalam, seramai 11 panel Jawatankuasa Memorandum Persefahaman Demi Rakyat iaitu lima wakil kerajaan dan enam dari PH bertemu membincangkan agenda tranformasi itu di ibu kota.

Menurut Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM), sememangnya jawatankuasa itu sedang melaksanakan amanah daripada kedua pucuk pimpinan untuk memperincikan terma yang dirangka kerajaan dan pembangkang bagi membolehkan memorandum persefahaman itu dapat ditangani bersama.

Katanya, jawatankuasa akan meneruskan perbincangan dan perundingan dengan pelbagai pihak khususnya daripada pembangkang berhubung ruang, bidang kebersamaan serta muafakat di bawah konsep kerajaan yang nklusif yang dilaksanakan oleh Perdana Menteri.

“Perkara ini telah dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri dan mereka telah pun diberikan penjelasan mengenai status terkini ataupun hasil daripada perbincangan khususnya perkara yang menjadi topik pengesyoran daripada kedua pihak.

“Ada pengesyoran dari kerajaan dan yang kita terima dari pembangkang dan ianya telah dibincangkan secara terperinci serta dan Jemaah Menteri dan perdana Menteri telah bersetuju supaya jawatankuasa ini membuat draf akhir untuk dimuktamadkan,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Penyokong tegar tendang keluar Singapura kepada majority kaum asing bersiap sedia tendang keluar Penang kepada majority kaum asing. Padan muka mendukung biawak hidup.

Comments are closed.