Haziq Aizuddin Subhi
Haziq Aizuddin Subhi

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu menyatakan secara jelas kedudukan dan polisi normal baharu yang dilaksanakan bagi kemasukan penuntut kampus oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Ini kerana, sebelum ini kerajaan beberapa kali pernah mengumumkan pembukaan sesi pembelajaran di universiti awam, semuanya dalam keadaan celaru dan mengelirukan.

Justeru, Exco Pergerakan Wira Putra Malaysia, Haziq Aizuddin Dato’ Subhi mahu kerajaan membuat persiapan terlebih dahulu sebelum memanggil penuntut kembali ke kampus bagi mengelak mereka terbeban dengan dasar KPT yang gagal mengambilkira aspek kebajikan.

“Pembukaan universiti awam bagi kemasukan penuntut untuk sesi Oktober ini usaha yang baik bagi meningkatkan kembali momentum mahasiswa yang sebelum ini terpaksa belajar di rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

“Namun, Wira Putra Malaysia masih tidak jelas dengan kedudukan dan polisi normal baharu yang akan dilaksanakan bagi kemasukan penuntut ke kampus oleh KPT.

“Kita sedia maklum, ini bukan pertama kali pengumuman untuk penuntut kembali ke kampus bagi menyambung semula sesi pembelajaran secara fizikal,” katanya dalam kenyataan semalam.

Haziq Aizuddin juga mempersoalkan, adakah KPT telah merancang keseluruhan proses termasuk mengambil kira kos yang akan dibelanjakan oleh penuntut dan ibu bapa, selain daripada mengumpul maklumat mereka yang sudah divaksin atau belum sahaja?

Sebelum ini, katanya, ramai penuntut mengalami kesukaran dan kerugian apabila sesi pembelajaran ditangguh serta ditukar kepada atas talian.

“Ramai sudah sedia untuk pulang ke kampus dan yang telah menyewa rumah atau bilik, hilang deposit, selain ramai yang terkandas tidak dapat pulang kerana dasar dan polisi berubah di saat akhir.

“Adakah KPT juga mengambil kira kapasiti dan kemampuan kampus bagi menampung penuntut yang bakal menjalani tempoh kuarantin sebelum sesi pembelajaran bermula?

“Wira Putra harap KPT menilai dan mengambil kira semua faktor ini agar ianya selaras dengan pengumuman pembukaan semula kampus yang dijangka bermula pada Oktober ini,” katanya.

Jelas beliau, Wira Putra masih kabur dengan rancangan menyeluruh KPT dalam menangani isu itu dan menyarankan dasar yang akan dilaksanakan kementerian itu nanti tidak membebankan penuntut terutama daripada golongan B40 dan M40.

Haziq Aizuddin berkata, Putra akan sentiasa mengambil berat mengenai kebajikan dan kepentingan rakyat. – MalaysiaGazette