Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed menyerahkan sumbangan bakul makanan kepada pemandu e-hailing dan bekas pengamal media secara pandu lalu pada Majlis Program Pemberian Bakul Makanan kepada Pekerja Gig Ekonomi dan Bekas Petugas Media di Putrajaya Sentral, Putrajaya. Foto FARHAN MAHAMAD, 12 SEPTEMBER 2021.

PUTRAJAYA – MyCar Platform Apps Sdn.Bhd selaku syarikat penyedia perkhidmatan penghantar dan e-hailing kepada penduduk di Lembah Klang akan menghulurkan bantuan Bakul Makanan kepada 1,000 pekerja gig-ekonomi dan bekas petugas media yang telah terkesan akibat Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif MyCar, Mohd Noah Maideen berkata, buat masa ini, bantuan Bakul Makanan itu disasarkan untuk 400 orang di Lembah Klang.

Bantuan Bakul Makanan itu akan diberikan secara berperingkat kepada golongan yang dikenalpasti pihaknya.

“Bakul Sumbangan ini sebagai usaha jitu menyantuni para pekerja gig-ekonomi dan bekas pekerja media yang selama ini banyak membantu MyCar secara langsung dan tidak langsung dalam menggerakkan perniagaan e-hailing ini.

“Ada di antara penerima bakul makanan ini sudah lama hilang pekerjaanm masih tidak mempunyai pekerjaan tetap, ditimpa pula dengan musibah dibuang kerja tatkala berdepan wabak maut ini yang merupakan cabaran besar mereka harus lalui untuk teruskan hidup.’

“Bakul Makanan kami berikan ini berbentuk keperluan harian terdiri daripada beras, minyak, susu, gula, kicap, sos dan sebagainya yang dijangka serba sedikit akan meringankan bebasn mereka yang memerlukan,” katanya.

Terdahulu, Mohd Noah menghadiri majlis anjuran MyCar  yang disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi), Datuk Seri Mustapha Mohamed kepada 250 penerimanya di sini hari ini.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis, Mohd Noah menambah, MyCar memperuntukkan tambahan 210 Bakul Makanan untuk diagihkan  dalam masa terdekat ini.

“Kita juga akan memperluaskan inisiatif murni ini ke seluruh negara menyasarkan 1,000 pemandu ehailing selepas ini secara berfasa mengikut keadaan norma baharu Covid-19 yang perlu dipatuhi semua.

“Kita sebelum pandemik tawarkan 12 peratus komisen dari setiap tambang kepada pemandu MyCar tapi akibat pandemik Covid-19 kita hentikan komisen seketika tetapi mengambil kira kebajikan pemandu MyCar kita menawarkan lima peratus komisyen yang akan membantu pemandu kami ketika ini yang mana merentas negeri di Lembah Klang sudah dibuka.

“Kita akan cuba tolong dan jaga semua pemandu kita supaya sentiasa terjaga dari segi kebajikannya semasa Covid-19,” katanya.

Dalam pada itu Mustapha Mohamed meminta lebih banyak syarikat swasta  tampil menghulurkan bantuan sedemikian untuk memastikan survival golongan gig ekonomi semasa Covid-19.

“Saya ucapkan tahniah kepada penganjur (MyCar) yang menghulurkan bantuan Bakul Makanan ini kerana kerajaan tak mampu buat segala-galanya dan bantuan dari swasta amat dialu-alukan.

“Walaupun ekonomi dibuka beransur, pergerakan rentas daerah fasa dua dibuka mulai semalam di Lembah Klang ia mungkin makan masa untuk mengembangkan ekonominya dan rentas negeri dan rentas sempadan antarabangsa mungkin akan mengambil masa lagi.

“Saya difahamkan MyCar pesat berkembang sejak ditubuhkan pada 2018 kini tinggal 10 peratus sahaja akibat Covid-19 yang mana 12,000 kenderaan MyCar di atas jalan dan 7,000 adalah beroperasi di Lembah Klang,” ujarnya.-MalaysiaGazette