Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Negara perlukan jawapan kepada segala persoalan di sebalik pendedahan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas menerusi buku memoirnya bertajuk “My Story: Justice In The Wilderness”.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) perlu ditubuhkan segera untuk menyiasat sama ada pendedahan itu ‘disengajakan’ atau ‘tidak disengajakan’.

Beliau berkata, UMNO menerusi Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) pada 27 Ogos lalu, telah meminta kerajaan baharu menubuhkan RCI.

“Penubuhan RCI bagi menyiasat pelbagai pendedahan yang pernah dibuat bekas Peguam Negara itu menerusi buku memoirnya, My Story: Justice In The Wilderness.

“Ini termasuk pendedahan yang menimbulkan persoalan kemungkinan berlaku campur tangan politik dalam institusi Peguam Negara, kehakiman dan keselamatan semasa negara di bawah pentadbiran kerajaan 22 bulan.

“Sebenarnya desakan dari UMNO ini baru, sebaliknya (desakan sama) telah pun dibuat oleh ramai pihak sejak awal tahun ini dengan ratusan laporan polis juga telah dibuat,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.

Menurut Ahmad Zahid, UMNO turut membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada Februari lalu oleh Setiausaha Agung, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Laporan itu dibuat kerana pendedahan Tommy itu melibatkan maruah dan keluhuran Perlembagaan serta kedaulatan undang-undang.

“Pendedahan itu merupakan persoalan yang terungkai, malah berpotensi menjawab kepada lebih banyak persoalan kepada apa yang berlaku selepas tarikh 9 Mei 2018.

“Kerajaan 18 bulan (Perikatan Nasional) tidak tergerak untuk menubuhkan RCI itu, maka kita berharap kerajaan baharu dapat menjadikannya kenyataan.

“Kerajaan baharu perlu memastikan Keluarga Malaysia tidak terus diselubungi dengan persoalan yang masih belum terjawab.

“Kebenaran perlu diketahui. Rakyat perlu tahu. Malaysia perlu tahu,” katanya yang merupakan bekas Timbalan Perdana Menteri. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. TERLALU BONGKAK UMNO….kerajaan BARU bergerak ke arah 100 hari…..menuduh GAGAL orang lain…HEBAT sangatkah covid 19 BOLEH DIHAPUSKAN 100% dalam sekelip mata atau 100 HARI nanti…..wak zahid pres umNO DAN 15 petualang negara KENA LETAK JAWATAN jika GAGAL 100HARI

Comments are closed.