KUALA LUMPUR – Pelakon, Hisyam Hamid akhirnya dapat pulang ke Singapura pada 27 Julai lalu selepas lebih 13 bulan ‘tersadai’ di Malaysia kerana situasi pandemik semasa Covid-19 dan terikat dengan komitmen kerja sendiri.
Malah keceriaan dan keterujaan di wajah aktor drama Cukup Derita itu berkongsi aktivitinya bersama keluarga di Instagram.
Lebih manis pada 2 September lalu, Hisyam juga sempat meraikan ulang tahun perkahwinan ke 15 dengan isteri tercinta, Melrose Hanafi.
“Bagaimanapun saya hanya dapat bertemu isteri dan anak-anak hanya pada 10 0gos lalu selepas menjalani kuarantin selama dua minggu di sebuah hotel.
“Dapat melepas rindu akhirnya yang tak terbendung selama ini. Bayangkan kerana situasi tak terduga ini, saya juga buat kali pertama sambut Ramadan dan Syawal tanpa mereka.
“Selain dapat menghabiskan masa dengan mereka, saya paling takjub dapat meraikan sambutan ulang tahun perkahwinan dengan isteri dalam sebuah sesi makan berdua di sebuah restoran. Moga perkahwinan kami akan kekal sampai syurga,” katanya.
Malah, aktor yang meledak menerusi drama Ariana Rose di TV3 itu juga berkata, dia cuba memanfaatkan kesempatan yang ada itu sebaik mungkin.
“Selepas setahun lebih tak bersama keluarga, jadi saya cuba penuhi masa yang ada dengan mereka. Setiap hari ada saja aktiviti dilakukan bersama. Saya juga cuba selit masa berjumpa rakan taulan.
“Rutin harian saya kini selepas bangun Subuh, hantar anak (Nurish Syameliah dan Hayden) ke sekolah. Selepas itu, saya bakar kalori dengan berjoging. Tengah hari macam itu, jemput semula anak dari sekolah.
“Kalau ada masa juga, saya akan bantu isteri menguruskan jualan barangannya di butik. Malah saya juga tolong isteri buat sesi siaran langsung di media sosial untuk mempromosikan barangan dijual. Khidmat penghantaran barangan jualan pun sesekali saya buat,” katanya.
Ketika ini Hisyam berkata, dia masih menunggu isyarat daripada stesen TV3 dan produksi drama Cukup Derita Itu yang terhenti kerja penggambaran kerana sekatan pergerakan penuh Jun lalu.
Drama arahan Along Kamaludin itu hanya sempat disiarkan hingga episod 20. Baki penggambaran untuk episod 21 hingga 40 belum bermula lagi hingga kini.
“Kalau sudah dapat pengesahan untuk memulakan penggambaran kembali, barulah saya balik ke Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette