Pemenang pingat gangsa sukan Olimpik 2020 Tokyo, Soh Wooi Yik menunjukkan insentif yang diterima dari Kementerian Wilayah Persekutuan di Menara DBKL, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 13 SEPTEMBER 2021.

KUALA LUMPUR- Wilayah Persekutuan mengiktiraf pencapaian Soh Wooi Yik yang memenangi pingat gangsa dalam acara berpasangan lelaki pada Sukan Olimpik 2020 Tokyo baru-baru ini dengan menyerahkan insentif wang tunai berjumlah RM50,000.

Biar pun Wooi Yik tampil buat kali pertama pada Sukan Olimpik 2020 Tokyo bergandingan dengan Aaron Chia, gandingan negara itu tidak gentar menundukkan beregu pilihan utama bagi membolehkan pasangan itu merangkul pingat gangsa yang juga pingat sulung negara pada temasya itu.

Pengerusi Majlis Sukan Wilayah Persekutuan, Datuk Ramlan Shahean @Askolani berkata, bakat Wooi Yik dalam sukan badminton bermula sejak di bangku persekolahan lagi dan atlet Wilayah Persekutuan itu mencipta nama di peringkat tempatan dan juga antarabangsa sehinggalah mencapai kejayaan terbesar di temasya Olimpik pada bulan lalu.

“Penyampaian insentif hari ini diadakan secara sederhana namun penuh bermakna untuk kita sama – sama meraikan dan mengiktiraf usaha gigih pemain badminton , Soh Wooi Yik yang bergandingan dengan Aaron Chia dalam acara berpasangan lelaki bagi menghadiahkan pingat gangsa buat Malaysia pada Sukan Olimpik 2020 Tokyo.

“Bakat Wooi Yik yang kini berumur 23 tahun digilap sejak di bangku sekolah lagi di Wilayah Persekutuan sehinggalah seluruh dunia menyaksikan kejayaan Wooi Yik memenangi pingat gangsa pada temasya Olimpik baru-baru ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis penyerahan insentif RM50,000 oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Untuk rekod, Wooi Yik pernah mewakili Wilayah Persekutuan sebanyak tiga kali iaitu pada SUKMA 2014 di Perlis , SUKMA 2016 di Sarawak menyaksikan Wooi Yik memenangi satu pingat gangsa acara beregu lelaki dan memenangi dua perak acara beregu lelaki dan campuran pada SUKMA 2018 di Ipoh.

Pada Sukan Olimpik 2016 di Rio, Brazil atlet Wilayah Persekutuan turut menyumbang pingat buat negara pada temasya terbesar dunia itu apabila pemain badminton Goh V Shem merangkul pingat perak dalam acara beregu lelaki bergandingan dengan Tan Wee Kiong. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast